Kerajaan Thai didesak siasat bagaimana Yingluck berjaya larikan diri


Bekas ahli-ahli Perikatan rakyat untuk Demokrasi (PAD) mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan jika beliau tidak dapat mengenal pasti dalang yang membantu Yingluck Shinawatra melarikan diri. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2017.

KERAJAAN Thailand perlu memulakan siasatan mengenai bagaimana bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra melarikan diri dan menghukum mana-mana pegawai kerajaan yang bersubahat dengan tindakan beliau, kata bekas ahli-ahli Perikatan rakyat untuk Demokrasi (PAD).

PAD atau lebih dikenali sebagai pergerakan “Baju Kuning” mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan jika beliau tidak dapat mengenal pasti dalang yang membantu Yingluck melarikan diri.

“Ini adalah kes berprofil tinggi dan masyarakat dari seluruh dunia sedang memerhatikan. Jika beliauI boleh melarikan diri, ini sama ada satu konspirasi atau kegagalan yang tidak boleh dimaafkan,” kata bekas jurucakap PAD Parnthep Pourpongpan kepada media tempatan hari ini.

Banyak pihak di Thailand meragui sama ada Yingluck dapat melarikan diri tanpa dikesan kerana pasukan keselamatan menjalankan pengawasan dan pemantauan yang berterusan dan mengesyaki bekas Perdana Menteri yang disingkirkan itu pada Mei 2014, mendapat bantuan daripada para pegawai kanan kerajaan.

Yingluck, adik kepada bekas perdana menteri Thaksin yang tinggal dalam buangan, sepatutnya hadir di mahkamah pada Jumaat untuk mendengar keputusan mahkamah yang boleh membawanya meringkuk dalam penjara sehingga sepuluh tahun, jika sabit kesalahan.

Perdana menteri wanita pertama Thailand yang memegang tampuk kuasa pada Ogos 2011, gagal hadir di mahkamah, mencetuskan spekulasi mengenai keberadaannya dan sama ada beliau mengikut jejak langkah abangnya melarikan diri untuk mengelak tindakan mahkamah.

Thaksin yang lari meninggalkan Thailand pada 2008, sekarang tinggal dalam buangan. – Bernama, 27 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen