Sabah mundur kerana BN, kata Shafie


Jason Santos

Ketua Menteri Shafie Apdal berkata Warisan yang mentadbir Sabah sekarang akan membetulkan kesilapan BN termasuklah pembangunan tidak sekata negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 12 Januari, 2019.

BEBERAPA daerah pendalaman Sabah seolah-olah terus berada dalam tahun 1960-an disebabkan kesilapan pentadbiran terdahulu membangunkan negeri, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Katanya, pentadbiran lama terlalu banyak memberi penekanan kepada kawasan bandar sehingga mewujudkan masalah ketidakseimbangan pembangunan dengan kawasan pendalaman.

“Sabah negeri yang besar, kita faham, tetapi kawasan pendalaman sangat memerlukan bantuan.

“Kita perlu bawa pembangunan (ke semua kawasan). Saya juga tak menyalahkan mana-mana individu disebabkan situasi sekarang.

“Hakikatnya wujud ketidakseimbangan ketara antara kawasan bandar dan pendalaman sekarang,” katanya kepada wartawan di Sapulut, hampir 212 km dari Kota Kinabalu, Sabah.

Shafie tidak menamakan sesiapa tetapi beliau jelas merujuk kepada Barisan Nasional yang memerintah Sabah lebih 20 tahun.

Shafie berada di Sapulut untuk menghadiri Ilau Panawari, majlis diraikan kaum Murut yang diadakan di SMK Sapulut.

Etnik Murut adalah masyarakat terbesar di beberapa daerah seperti Pensiangan, Nabawan, Tenom, Sapulut dan Keningau.

Sebelum itu, Shafie menghadiri taklimat Skim Penempatan Nabawan, beliau dimaklumkan projek itu gagal mencapai matlamatnya.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah Dr Richard Sakian Gunting memberikan taklimat tersebut.

Beliau berkata skim itu bermula sejak 1960-an, dan generasi peneroka pertama mula memasukinya pada 1970-an, tetapi sehingga sekarang masih tiada pembangunan di kawasan tersebut.

Antara projek yang dirancang untuk penempatan tersebut termasuklah 3,600 hektar tanah untuk kelapa sawit oleh Lembaga Pembangunan Tanah Sabah pada 2009.

“Tetapi sehingga hari ini, projek itu masih belum mencapai matlamat asal,” kata Gunting kepada The Malaysian Insight.

Shafie dalam ucapannya sebelum itu berkata kawasan pendalaman tidak disukai penjawat awam sebelum ini dan pentadbiran terdahulu menghantar pegawai tidak bagus untuk bekerja di kawasan tersebut.

Kesannya, banyak kawasan pendalaman Sabah tidak membangun dengan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air dalam keadaan buruk.

Di bawah pentadbiran Warisan, Shafie berkata sebuah unit pemantau khas akan ditubuhkan untuk semua kementerian Sabah bagi memastikan pembangunan seimbang dilaksanakan demi manfaat semua rakyat negeri itu.

Beliau menambah, beberapa anak syarikat negeri akan dirombak dan individu layak akan dilantik bagi menerajuinya supaya peluang pekerjaan dan penjanaan kekayaan dapat diberikan kepada penduduk Sabah. – 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen