Muak dengan masalah, petani bertanding PRK Cameron Highlands


Christopher Rabin

Wong Seng Yee yang berkelulusan sarjana bidang pertanian dari Amerika Syarikat memberikan kesegaran kepada landasan kempen di PRK Cameron Highlands, menumpukan kepada masalah setempat bukan memburukkan BN ataupun Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.

WONG Seng Yee bersedia menukar kerjaya daripada petani kepada ahli politik sekiranya beliau dapat membantu menggubal dasar lebih baik untuk komuniti pertanian Cameron Highlands yang seterusnya akan meningkatkan soal keselamatan makanan Malaysia.

“Inisiatif saya, sekiranya saya dapat masuk Parlimen adalah mendesak tanah pertanian kekal untuk petani bagi memastikan keselamatan makanan negara terjaga,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas majlis ikrar pilihan raya bersih dan adil anjuran Bersih 2.0 hari ini.

Petani yang mendapat latihan di Amerika Syarikat itu berkata terdapat sejumlah 2,200 petani di Cameron Highlands yang bekerja di tanah Lesen Penempatan Sementara (TOL) yang membenarkan mereka bercucuk tanah hanya untuk setahun- tempoh masa yang tidak mencukupi bagi mereka membesarkan projek tanaman mereka.

“Bila anda bercucuk tanam, anda perlukan tanah, dan memandangkan petani di Cameron Highlands menanam makanan, anda tak boleh tanam makanan hanya untuk setahun,” katanya.

Cameron Highlands adalah pembekal utama sayur-sayuran dan buah-buahan di Semenanjung Malaysia. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kawasan itu dilanda pelbagai masalah disebabkan penerokaan tanah tidak terkawal yang menyebabkan banyak kejadian tanah runtuh berlaku.

Wong berkata penyelesaian dilakukan kerajaan negeri untuk mengubah dasar sewaan tanah hanya bersifat jangka pendek, sedangkan penyelesaian jangka panjang diperlukan.

“Dengan tempoh pajakan yang lebih lama untuk petani, mereka boleh melabur lebih banyak untuk menambah baik kerja, yang akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dan menggunakan teknologi.

“Misi saya adalah untuk mewakili komuniti pertanian yang sudah lama menunggu calon tempatan menyuarakan kebimbangan mereka,” katanya.

Petani berusia 40 tahun lulusan sarjana pertanian daripada University Nebraska-Lincoln, AS mengakui tidak mempunyai banyak sokongan tetapi percaya mampu bertanding dengan baik kerana mendapat sokongan komuniti petani, keluarga dan rakan-rakan.

Selain isu tanah, kempennya juga memfokuskan tiga lagi aspek lain- alam sekitar, Orang Asli dan pelancongan, kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Wong berkata tidak wujud keperluan dalam kempennya untuk mengecam kegagalan kerajaan persekutuan atau menyalahkan pentadbiran lama Barisan Nasional.

Kerana baginya, banyak lagi isu tempatan di Cameron Highlands yang perlukan pembelaan.

“Tak perlu bangkitkan masalah kerajaan lama.

“Sekarang, saya akan cadangkan kaedah yang lestari untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya. – 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen