Calon BN canggung berdepan media


Noel Achariam

Calon Barisan Nasional bagi PRK Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor mengangkat tangan semasa penamaan calon hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2019.

BAGI seseorang yang baru sahaja melakar sejarah dengan menjadi calon Parlimen Orang Asli, Ramli Mohd Noor daripada Barisan Nasional (BN) dilihat tidak banyak bercakap.

Sebaliknya, beliau membiarkan pemangku presiden Umno Mohamad Hasan bercakap bagi pihaknya sepanjang sidang media selepas pencalonan sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands diterima pagi ini di Tanah Rata.

Ketika diasak oleh media untuk memberi ulasannya selepas sah menjadi calon, Ramli berkata, “Saya sokong BN.”

Seorang penyokong BN pada sidang akhbar itu berkata Ramli tidak mempunyai apa-apa untuk dikatakan.

“Calon tidak dapat memberi komen,” katanya.

Mohamad, yang menjawab semua soalan, berkata Ramli adalah calon terbaik bagi BN kerana beliau “mudah diperkenalkan” kepada pengundi di kerusi Pahang itu.

“Inilah kali pertama BN memberikan kepercayaan kepada calon Orang Asli untuk bertanding.

“Jika beliau menang, beliau akan menjadi Orang Asli Semai yang pertama di Parlimen.

“Ramli juga dari sini dan kami berharap mendapat sokongan Orang Asli.”

Mohamad, yang juga pengerusi BN, berkata kempen mereka akan memberi tumpuan kepada meyakinkan pengundi bahawa Ramli, penduduk tempatan dan pesara polis berpangkat tinggi, merupakan calon terbaik.

“Ini secara tradisinya merupakan kerusi BN, jadi kita mesti melindunginya. Kita perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon kita.”

Mohamad juga memberi komen berhubung tindakan tarik diri Presiden MyPPP M Kayveas sebagai calon PRK itu.

“Mula-mula beliau katakan hendak bertanding, kemudian tidak, dan akan menyokong Pakatan Harapan.

“Terserah kepada Kayveas, itu haknya. Sebab itu jentera BN perlu bekerja keras untuk menjaga kerusi ini.”

Dengan penarikan diri Kayveas, PRKl Cameron Highlands pada 26 Januari akan menjadi pertarungan empat penjuru antara calon PH M. Manogaran, calon BN Ramli, dan calon Bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee. – 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen