Jangan tunduk ancaman, guna undi ajar Pakatan


DEMI meraih sokongan pengundi di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands ini, Pakatan Harapan (PH) sanggup melakukan perbuatan terdesak termasuk menyalahgunakan kuasa dan sumber kerajaan.

Malah, ada juga ancaman melucutkan jawatan Tok Batin dan enggan membayar gaji mereka. Ini jelas bercanggah dengan semangat demokrasi dan undang-undang pilihan raya.

Seminggu selepas hari penamaan calon, ramai menteri PH turun padang ke Cameron Highands.

Ini membangkitkan dakwaan rasuah apabila menteri tersebut mengumumkan projek tempatan dan memberi “gula-gula” pilihan raya.

Lebih teruk lagi, calon PH M Manogaran mengutuk calon Barisan Nasional (BN) apabila mengatakan “kuih Orang Asli pun Melayu tak beli”.

Kenyataan berbaur perkauman ini menghina masyarakat Orang Asli dan bakal menjejaskan keharmonian.

Insiden ini, ditambah pula dengan ancaman melucut jawatan Tok Batin menyerlahkan keangkuhan PH yang tidak menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi.      

Senator Bob Manolan menghina para pengundi dan tidak menghormati prinsip demokrasi apabila beliau mengancam melucutkan jawatan Tok Batin dan enggan membayar gaji sekiranya mereka tidak menyokong PH.

Tingkah laku Manogaran dan Bob Manolan yang menyalahgunakan sumber kerajaan untuk mengancam pengundi amat menghinakan proses pilihan raya berdemokrasi.

Sebagai penjawat kerajaan, mereka harus sedar bahawa sumber kerajaan merupakan hak milik rakyat jelata, dan bukannya untuk kegunaan peribadi PH.

Tindakan mengancam menarik balik peruntukan menyerlahkan keangkuhan dan kesombongan mereka, dan para pengundi Cameron Highlands digesa menghukum kerajaan melalui pilihan raya ini!

PH wajar ditolak sebagai amaran kepada kerajaan untuk tidak mengambil mudah sokongan rakyat.

Oleh itu, PRK ini amat penting kerana pengundi Cameron Highlands bagi pihak rakyat Malaysia boleh menggunakan undi mereka untuk mengingatkan PH rakyat yang menentukan kemenangan sesebuah parti politik.   

Pengundi Cameron Highlands digesa menyampaikan isyarat kepada kerajaan bahawa rakyat tidak akan tunduk kepada ancaman PH, dan akan terus menjunjung semangat dan prinsip demokrasi! – 12 Januari, 2019.

* Saw Yee Fung adalah setiausaha Pemuda MCA Pahang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen