Berhenti ugut pengundi


GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) memberi amaran kepada semua pihak agar berkempen dengan tertib dan tidak mengugut pengundi untuk mengundi mereka.

BERSIH 2.0 memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) terutamanya agar tidak menyalahgunakan kuasa mereka sebagai kerajaan persekutuan dengan mengugut pengundi memberi undi kepada calon mereka di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highland yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

Ini adalah strategi jahat kempen Barisan Nasional (BN) semasa mereka masih memegang tampuk kekuasaan dan adalah tidak wajar diulangi oleh PH yang sentiasa melaungkan slogan ketelusan dan pilihan raya yang bersih sebelum 9 Mei 2018.

Berkempen dengan mengugut pengundi adalah suatu kesalahan di Sekyen 9 Pengaruh Tidak Wajar.

Seksyen 9 menyebut dengan jelas adalah menjadi kesalahan sekiranya seseorang mengancam untuk mengenakan tindakan kepada orang lain kerugian dengan memaksa seseorang untuk mengundi atau tidak mengundi sesuatu pihak.

Perkara ini jelas dilakukan oleh Senator Bob Manolan Mohd semasa sesi dialog yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Raub bersama Tok Batin di Pos Betau, Jelai.

Sesi dialog itu juga turut disertai oleh Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

BERSIH 2.0 mengharapkan Tok Batin atau wakil-wakil yang hadir di sesi dialog tersebut untuk tampil dan membuat laporan kepada polis ucapan berbaur ugutan oleh senator tersebut kerana jelas melanggar Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya agar pasukan penguasa dapat mengambil tindakan selanjutnya.

BERSIH 2.0 juga menggesa agar kerajaan PH menafikan perkara ini akan dilakukan serta mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap senator tersebut yang jelas tidak mempunyai agenda untuk berkempen secara bersih dan adil dalam pilihan raya kali ini dengan mengugut dan
mengancam para pengundi di Cameron Highland.

Kesalahan memberikan pengaruh tidak wajar seperti mengugut dan mengancam pengundi untuk mengundi atau tidak mengundi sesuatu parti atau calon boleh menyebabkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun, denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

BERSIH 2.0 sekali lagi menggesa agar semua calon dan jentera pilihan raya agar berkempen dengan berhemah serta mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Era Malaysia Baharu sepatutnya menampilkan calon dan jentera pilihan raya berkempen secara profesional dan beretika. – 12 Januari, 2019.

* Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen