MB Johor sangkal dakwaan ceroboh perairan Singapura


Menteri Besar Johor Osman Sapian mengulas laporan beberapa portal berita Singapura semalam yang mendakwa lima kapal pasukan keselamatan Malaysia telah dilihat memasuki perairan negara itu pada Rabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2019.

MENTERI Besar Johor Osman Sapian hari ini menyangkal laporan beberapa portal berita dari Singapura, yang mendakwa beliau memasuki perairan negara itu semasa lawatannya ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata lawatannya ke kawasan itu sekadar untuk melihat bagaimana pasukan keselamatan menjalankan tugas di perairan negara.

“Kami, ketika melawat Kapal MV Pedoman, tahu kawasan perairan dan sempadan dua negara… sudah pasti kita tak akan masuk kawasan mereka kerana kita menghormati undang-undang kedua-dua belah pihak.

“Jadi, saya rasa kawasan yang saya lawat ketika itu bukannya kawasan Singapura sebab polis kita sendiri pun boleh masuk dan tujuan lawatan itu bukannya mahu membuat provokasi sebaliknya hanya mahu melihat pasukan keselamatan kita bertugas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana dan Program ‘Back To School’ di Dataran Perdana SMK Suria Perdana di Batu Pahat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan beberapa portal berita Singapura semalam yang mendakwa lima kapal pasukan keselamatan Malaysia telah dilihat memasuki perairan negara itu pada Rabu, selepas baru sehari kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani pertikaian maritim dan isu ruang udara.

Lima kapal itu didakwa dinaiki oleh rombongan Osman yang membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman di kawasan terbabit.

Osman berkata jika mengikut ulasan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di dalam laman sosial Youtube dan Facebook, ia secara jelas turut menyatakan memang terdapat kapal penguatkuasa Malaysia di kawasan terbabit.

“Jadi, saya rasa tidak perlu beritahu Singapura berkenaan lawatan yang dilakukan kerana masih berada dalam negara sendiri,” katanya. – Bernama, 11 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen