POLIS merampas berkotak-kotak dokumen dalam serbuan di ibu pejabat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi siasatan kes pecah amanah.
Tiada penahana dibuat dalam operasi selama enam jam itu, namun beberapa individu akan dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan dengan kes tersebut, kata polis Bukit Aman.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Saiful Azly Kamaruddin berkata pasukannya juga sudah merakam keterangan beberapa kakitangan HRDF.
“Hasil serbuan lebih enam jam itu, kami merampas lebih lima kotak dokumen penting berkaitan siasatan namun tiada sebarang penahanan dilakukan sehingga ke hari ini.
“Kita akan meneliti dulu dokumen berkenaan dan jika ada bukti kukuh, tindakan susulan akan diambil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Saiful Azly mengesahkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berhubung kes pecah amanah.
Menurutnya operasi tersebut bermula jam 10 pagi dan tamat kira-kira jam 6 petang di ibu pejabat HRDF di Damansara Heights.
Polis menerima dua laporan polis berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh lembaga pengarah terdahulu, katanya lagi.
HRDF merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Menterinya M Kulasegaran pada November lalu mendedahkan, kakitangan HRDF berpangkat tinggi dipercayai menyalahgunakan sekitar RM100 juta hingga RM300 juta dana badan tersebut.
Kulasegaran juga menubuhkan jawatankuasa pengawasan pentadbiran bebas lima anggota (GOC) untuk mengkaji dan menyiasat dakwaan berkenaan. – 11 Januari, 2019.
Komen