PENGUNDI di Cameron Highlands berbelah bahagi sama ada calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor akan memperoleh impak besar dalam keputusan pilihan raya kecil (PRK), tetapi sebahagian besarnya bersetuju calon Orang Asli mungkin akan mendapat undi komunitinya.
Ramli adalah bekas penolong pesuruhjaya polis dan pegawai polis Orang Asli tertinggi di negara ini. Beliau juga mempunyai latar belakang pendidikan mengagumkan termasuk calon PhD dalam kajian perniagaan.
Keputusan BN meletakkannya bertujuan untuk mendapatkan undi Orang Asli, yang terdiri daripada 22% pengundi di Cameron Highlands dan berkemungkinan besar menjadi penentu bagi pilihan raya akan datang.
Tempoh kempen kempen PRK Cameron Highlands, yang akan bermula esok apabila pencalonan diumumkan, juga akan menyaksikan M Manogaran daripada Pakatan Harapan (PH) cuba memenangi kerusi Parlimen yang gagal dimilikinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
BN memegang kerusi Parlimen itu sejak 60 tahun yang lalu.
“Persaingan ini adalah 50-50 antara PH dan BN. Jika (BN) tidak meletakkan calon Orang Asli, PH akan menang,” kata pemilik kedai runcit, Arunasalam, 65.
Bagaimanapun, Sanjay, 25, berkata kubu kuat BN akan jatuh ke tangan PH kerana komuniti Orang Asli lebih terdedah kepada skim rejim pemerintah terdahulu dan bersedia untuk berubah.
“Pada pilihan raya lalu, mereka tahu BN akan datang ke kampung mereka, memberikan sedikit makanan dan beberapa ratus ringgit, dan meminta undi mereka.
“Bagaimanapun, kini mereka tahu BN tidak boleh memberi mereka sokongan diharapkan. Mungkin ada peratusan tertentu Orang Asli yang akan mengundi BN tetapi kebanyakan mereka tidak akan meneruskan trend itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Manogaran sudah ada di sini lebih 10 tahun. Beliau menjadi calon yang sama sejak pilihan raya lalu, jadi semua orang mengenalinya terutama kerana membantu sesetengah kampung Orang Asli,” kata Sanjay.
Pesara, Tony Ng berkata mana-mana pemimpin yang berminat untuk memenangi PRK Cameron Highland perlu bersedia menangani pelbagai isu seperti kos perumahan untuk penduduk tempatan, hak pemilikan tanah untuk petani dan kesesakan lalu lintas kerana jalan sehala di Cameron Highlands.

“Terdapat masalah perumahan. Bagi yang dilahirkan di sini, sehingga hari ini mereka tidak mampu membeli rumah,” katanya.
“Anda mungkin melihat rumah dibina tetapi ia sangat mahal kerana harga ini melampaui apa yang mampu dimiliki orang miskin di sini.”
Ng berkata, selain hilang sokongan sebahagian besar Orang Asli kepada Ramli, PH menyedari fakta bahawa Manogaran juga tidak disukai oleh ramai penduduk tempatan yang mendakwa calon DAP itu sering tiada di Cameron Highlands selepas gagal memenangi kerusi pada PRU14 tahun lepas.
“Apabila calon PH kalah pada pilihan raya lalu, beliau hilang. Tetapi apabila pilihan raya diadakan, beliau muncul semula,” kata Ng kepada The Malaysian Insight.
“Kami tidak mahu seorang pemimpin seperti itu, kami mahu pemimpin yang akan terus berkhidmat dan menunjukkan minat berterusan kepada penduduk di sini.”
Pengundian akan diadakan pada 26 Januari, sementara undian awal pada 22 Januari.
DUN mempunyai 32,009 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 31,750 pengundi biasa, 247 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir.
Pengundi Cameron Highlands terdiri daripada 34% Melayu, 30% Cina, 15% India dan 22% Orang Asli. – 11 Januari, 2019.
Komen