AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.
Sumber polis berkata, penahanan Lokman itu bagi membantu siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung satu video mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba melindungi pembunuh anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24.
“Lokman ditahan di lokap IPD Dang Wangi namun siasatan dijalankan JSJ Bukit Aman,” katanya.
Terdahulu sebelum itu, Setiausaha Pemantau, Lisa Yahaya menerusi satu kenyataan memaklumkan penahanan Lokman yang juga presiden Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau) ditahan selepas hadir ke JSJ Bukit Aman, pada jam 2 petang.
Menurut Lisa, selepas selesai memberi keterangan pihak polis memaklumkan Lokman perlu ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
“Beliau akur dengan penahanan itu dan berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Susulan itu, beliau dibawa ke beberapa tempat dan beberapa individu turut disoal oleh polis bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan.
“Pada jam 10 malam, Lokman dibawa ke IPD Dang Wangi untuk direman dan berkemungkinan dibebaskan pagi ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kesal dengan penahanan terbabit dan menganggap tiada keperluan untuk Lokman bermalam di lokap IPD Dang Wangi kerana beliau sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis. – 11 Januari, 2019.
Komen