RIBUT kuat melanda Hong Kong dan Macau pada Ahad, beberapa hari selepas taufan melanda selatan China yang menyebabkan 18 orang terbunuh.
Kedua-dua bandar itu mengeluarkan amaran Taufan 8 – tahap amaran ketiga tertinggi – pada pagi Ahad berikutan ribut tropika “Pakhar” melanda rantau itu, ketika petugas kecemasan sedang membaik pulih kerosakan akibat bencana sebelum ini.
Kira-kira 300 penerbangan dibatalkan atau ditunda pada Ahad, kata jurucakap pihak berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong. Syarikat penerbangan Cathay Pacific berkata, “pembatalan dan penundaan yang signifikan” itu dijangka akan berterusan hingga Isnin.
Ribut Pakhar membawa angin berkelajuan 130 kilometer sejam ke Hong Kong. Amaran Taufan 8 akan menyebabkan pasaran bursa saham Hong Kong, sekolah dan perniagaan ditutup.
Di Macau, pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran banjir kilat dimana kebanyakan premis perniagaan masih ditutup pada Ahad dan lampu isyarat juga masih tidak berfungsi selepas taufan Hayo menyebabkan bekalan elektrik terputus.
“Keadaan amat sukar, tiada apa yang dapat kami lakukan,” kata peniaga Leung Chin Pang, yang berdepan masalah bekalan air sejak hari pertama ribut melanda kawasan itu. – AFP, 27 Ogos, 2017.
Komen