Rugi RM15 juta, Firefly minta pertikaian Singapura-Malaysia berakhir cepat


Julia Yeow

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Group (MAG) Izham Ismail berkata penggantungan penerbangan Firefly ke Singapura menyebabkan kerugian besar kepada kumpulan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 Januari, 2019.

SYARIKAT penerbangan perjalanan jarak dekat Firefly dijangka mengalami kerugian sehingga RM20 sebulan akibat penggantungan penerbangan terus ke Singapura susulan pertikaian ruang udara antara Malaysia dan Singapura, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Group (MAG) Izham Ismail.

Bermula 1 Disember, Firefly terpaksa menghentikan penerbangannya dari Subang ke Singapura, laluan kedua terbesarnya selepas Pulau Pinang, selepas Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) tidak meluluskan perpindahannya ke Lapangan Terbang Seletar.

Penggantungan itu menyebabkan “kerugian besar” dalam MAG, di mana Firefly ialah anak syarikatnya, kata Izham.

“Kehilangan perolehan daripada penggantungan itu ialah RM15 juta, jadi kita melihat kepada RM15 hingga RM20 juta pendapatan yang hilang setiap bulan,” kata Izham kepada The Malaysian Insight.

“Perniagaan Firefly baik sepanjang tiga tahun lalu, jadi ini kerugian besar untuk kumpulan.”

Firefly beroperasi dengan 20 penerbangan turboprop setiap hari pergi balik dari Subang, Ipoh dan Kuantan di Lapangan Terbang Changi sebelum 1 Disember.

Singapura baru-baru ini memindahkan pesawat turboprop ke Lapangan Terbang Seletar yang baru diubahsuai. Firefly sepatutnya menjadi penerbangan komersial pertama mendarat di situ.

Tetapi pada 26 Oktober tahun lalu, Izham berkata kumpulan menghantar laporan spesifikasi operasinya untuk kelulusan kepada CAAM dan terkejut apabila pihak berkuasa itu tidak meluluskan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Seletar, atas alasan ia akan menyekat pembangunan dan operasi perkapalan di Pelabuhan Pasir Gudang, Malaysia.

Akibatnya, syarikat itu tidak diluluskan untuk terbang ke Seletar dan pada masa sama, Izham berkata beliau dimaklumkan bahawa Lapangan Terbang Changi sudah menjual slot Firefly, menyebabkan mereka tidak ada hak pendaratan di republik itu.

“Kami terpaksa batalkan penerbangan dan kembalikan bayaran tiket kepada penumpang,” katanya.

“Ini menyebabkan kerugian besar kepada anak syarikat kami, yang menjejaskan keseluruhan kumpulan. Kami perlukan penyelesaian secepat mungkin.”

Izham berkata perbincangan antara MAG, pegawai Kementerian Pengangkutan Malaysia dan wakil dari Singapura “tidak ke mana” sepanjang Disember, sehinggalah kepada mesyuarat antara menteri luar kedua-dua negara pada Selasa.

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura, Vivian Balakrishnan mengeluarkan kenyataan media susulan mesyuarat mereka, mengumumkan penggantungan ILS dan sekatan kekal Malaysia terhadap ruang udara di Pasir Gudang bagi tempoh sebulan. – 11 Januari, 2019.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen