Kekalkan UiTM hak Bumiputera, gesa alumni


Nabihah Hamid

Alumni UiTM menggesa kedudukan institusi itu sebagai sebuah universiti yang dikhaskan untuk Bumiputera perlu dihormati semua pihak. – Gambar Facebook, 10 Januari, 2019.

ALUMNI Universiti Teknologi Mara (UiTM) mahu pusat pengajian tinggi itu kekal sebagai hak Bumiputera sepertimana matlamat asal penubuhannya sejak sebelum merdeka.

Presidennya Zaini Hassan berkata, kedudukan UiTM sebagai sebuah universiti yang dikhaskan untuk Bumiputera perlu dihormati semua pihak.

“UiTM tertakluk pada akta dan kita perlu hormati. Kalau hendak membetulkan keadaan kita kena pergi ke peringkat sistem persekolahan kita, bukannya dengan membuka UiTM kepada bukan Melayu.

“UiTM sudah ada sebelum merdeka dan ia terbukti berjaya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, ratusan ribu graduan UiTM bukan sahaja mampu bersaing malah terbukti lahir sebagai tenaga profesional berkualiti yang memenuhi keperluan industri pelbagai bidang.

Zaini mengulas cadangan tokoh pendidikan Arshad Ayub yang mahu pelajar bukan Bumiputera diterima melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi itu bagi peringkat pasca siswazah.

“Kalau tanya saya sama ada bukan Melayu patut masuk UiTM, pada pandangan saya, bagi peringkat ijazah sarjana, graduan patut boleh bersaing dengan kaum lain,” kata Arshad, yang juga pengarah pertama Institut Teknologi Mara, sebelum dinaik taraf pada 1999 menjadi universiti.

Lama sebelum itu, ia dikenali dengan nama Maktab Mara, selepas dinaik taraf daripada Dewan Latihan Rida yang ditubuhkan pada 1956 hasil buah fikiran presiden Umno pertama, Onn Jaafar.

Menurut Zaini, tiada sesiapa pun akan mempertikaikan cadangan atau usaha membuka UiTM kepada kaum lain, asal saja kerajaan bersedia menyelaraskan sistem persekolahan kepada satu aliran kebangsaan.

“Kalau tanya negara lain, mereka gelakkan kita kerana kita ada pelbagai sistem pendidikan dan tidak selaras. Saya nak anak saya sekolah bersama pelajar Cina dan India. Mereka pasti akan fasih Bahasa Melayu dan menghayati kenegaraan yang lebih baik.

“Sekiranya kita sudah ada satu sistem persekolahan, hendak buka UiTM kepada sesiapa sahaja tiada masalah,” katanya lagi.

Sesetengah mendakwa pelajar UiTM kurang terdedah kepada cara berfikir tentang kebudayaan selain milik mereka sendiri kerana tidak bergaul dengan kaum lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2019.

Bekas naib canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah juga sependapat, institusi pengajian tinggi Bumiputera itu tidak perlu dibuka kepada semua kaum kerana modelnya sekarang telah terbukti berjaya.

“Saya bangga UiTM sudah lahirkan pelajar perubatan, pergigian dan banyak lagi profesional. Jika kata pelajar tidak terbuka minda, tidak benar kerana mereka juga mampu bersaing.

“Kita bukan rasis tetapi ini hak Bumiputera,” katanya.

Ibrahim turut menafikan pelajar UiTM tidak terdedah kepada kaum lain kerana universiti itu kini mempunyai kira-kira 12% pensyarah bukan Melayu.

Dalam melontarkan cadangannya, Arshad turut membuat pemerhatian pelajar UiTM kurang terdedah kepada cara berfikir tentang kebudayaan selain milik mereka sendiri kerana tidak bergaul dengan kaum lain.

Sementara itu, blogger dan bekas editor akhbar terbitan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Ahirudin Attan, yang bekas pelajar UiTM, ada pandangan lain.

Katanya, UiTM ada peluang untuk lebih berjaya sekiranya dibuka kepada semua kaum kerana persekitaran itu akan mewujudkan suasana persaingan lebih sihat antara pelajar.

“Saya setuju ia dibuka kepada bukan Melayu kerana ia merupakan persaingan sihat. UiTM bukan calang-calang pusat pengajian dan merupakan universiti terbesar di Malaysia,” katanya.

Beliau melihat membuka pusat pengajian tinggi itu kepada bukan Melayu serta menambah jumlah tenaga pengajar bukan Melayu akan memberi ruang kepada pelajarnya bertukar budaya dan pendapat dengan mereka daripada latar yang berbeza. – 10 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen