PUTRAJAYA dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan saling berhubung dengan jujur dalam apa-apa isu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam pertemuan dengan Sultan Ibrahim di Johor hari ini.
“Kita bersetuju supaya kita frank, cakap secara terus terang, tidak ada sembunyi sembunyi. Dia bagi dia punya pandangan saya bagi saya punya pandangan,” kata Dr Mahathir lagi.
Sultan Johor juga menerima baik pandangan rakyat ke atas baginda seperti yang disampaikan, kata perdana menteri.
“Saya cerita berkenaan dengan pandangan rakyat terhadap tuanku dan dia terima baik dan kita bersetuju supaya di masa hadapan sekiranya ada masalah saya boleh hubung dengan tuanku.
“Kita bersetuju kalau ada apa apa kita hendak berhubung kita boleh berjumpa ataupun kita boleh berhubung,” katanya, kepada pemberita.
Kali terakhir Dr Mahathir mengadakan pertemuan bersama Sultan Ibrahim adalah selepas beliau melepaskan jawatan perdana menteri hampir 20 tahun lalu, kata perdana menteri.
Beliau diketahui bergeser beberapa kali dengan istana Johor. Ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14, Sultan Ibrahim murka atas kenyataannya mengaitkan bangsa Bugis dengan lanun.
Kritikan Dr Mahathir ke atas projek pembangunan Forest City di Johor juga menimbulkan rasa tidak senang Sultan Ibrahim.
Namun pada hari ini, mereka dapat berkomunikasi dengan baik, kata Dr Mahathir.
Pengerusi Bersatu itu juga berkata, isu berkenaan jawatan Yang di-Pertuan Agong tidak dibangkitkan dalam pertemuan di Istana Bukit Serene itu.
“Yang itu (pelantikan Agong) soal Majlis Raja-Raja tidak ada kena mengena dengan saya,” kata Dr Mahathir.
Tambahnya, pertemuan itu juga tidak membangkitkan isu politik atau pentadbiran kerajaan negeri Johor.
“Kita bercakap macam normal, macam biasa. Macam-macam masalah kita bangkitkan tapi saya tak payah cakap,” katanya lagi.
Pertemuan dengan Sultan Ibrahim itu berlangsung selama kira-kira 90 minit di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Sultan Ibrahim juga berkenan menghantar Dr Mahathir ke lapangan terbang menaiki kereta Proton Saga yang dihadiahkannya kepada bapa baginda, Almarhum Sultan Iskandar ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Dr Mahathir berkata, kereta berusia 34 tahun itu menunjukkan Proton mampu menghasilkan kenderaan yang berkualiti.
“Kereta bagus, berusia 34 tahun, saya berikan kepada bapa dia di Kuala Lumpur. Kereta bagus, transmisi manual, jam masih berfungsi, pemanduan yang bagus, tiada kerosakan.
“Saya rasa ia satu sokongan yang bagus untuk kereta Proton. Kereta sudah jalan 22,000 km. Harga dia masa itu RM17,000,” kata Dr Mahathir.
Beliau bercakap dalam kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai hari ini. – 10 Januari, 2019.
Komen