Pegawai kanan SKMM, pengutip hutang direman kes RM270,000


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM menahan reman empat hari terhadap timbalan pengarah SKMM dan seorang pengutip hutang yang menerima rasuah RM270,000. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Januari, 2019.

SEORANG timbalan pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antara dua individu yang direman berhubung kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM270,000.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat perintah tahanan reman empat hari ke atas dua individu berkenaan, susulan tangkapan malam tadi.

Timbalan pengarah berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah restoran di pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 8 malam ketika melakukan urusan menerima duit tersebut.

Menurut sumber, pegawai tersebut meminta wang RM270,000 itu daripada seorang perunding kononnya sebagai balasan mendapatkan projek membina menara komunikasi.

Projek menara komunikasi bernilai kira-kira 31 juta itu difahamkan akan diusahakan di Kelantan dan Terengganu.

Sumber berkata suspek juga menerima bayaran beberapa kali berjumlah RM248,000 sekitar tahun 2015 dan 2016, sebelum ini.

Seorang lagi, lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengutip hutang ditahan di lokasi dan waktu sama semasa melakukan urusan berkenaan.

SPRM turut merampas wang tunai RM50,000 yang merupakan sebahagian daripada RM270,000 yang diminta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Majistret Putrajaya Low Wen Zhen membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 13 Januari. – 10 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen