Orang Asli bekas polis calon BN PRK Cameron Highlands


Bede Hong

Presiden BN Mohamad Hasan (tengah) bersama Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) ketika mengumumkan pencalonan Ramli Mohd Nor (kanan) di ibu negara hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Januari, 2019

RAMLI Mohd Nor yang pernah mencatat sejarah sebagai pegawai polis berpangkat paling tinggi dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini diletakkan sebagai calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Presiden Barisan Nasional yang juga pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, bekas penolong pesuruhjaya polis itu mampu menarik sokongan masyarakat Orang Asli. 

“Saya yakin Orang Asli akan berikan 100% sokongan,” katanya selepas mengumumkan pencalonan Ramli hari ini. 

Mohamad berkata Ramli diletakkan sebagai “calon langsung” Barisan Nasional kerana ia pernah dilakukan oleh gabungan itu pada pilihan raya negeri Sarawak 2016. 

“Saya buat pengumuman ini bukan atas kapasiti sebagai mana-mana pemimpin parti komponen, tetapi sebagai pengerusi Barisan Nasional. Pilihan ini dibuat demi kepentingan Barisan Nasional…Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MIC kerana memberi laluan.”

“Saya percaya calon yang diilih ini akan mencetuskan kebimbangan dalam Pakatan Harapan.

Mohamad turut mengumumkan PAS tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil kali ini. “Terpulang kepada mereka sekiranya mereka ingin bantu.”

Ramli tidak memberi sebarang kenyataan pada sidang media berkenaan.

Masyarakat Orang Asli merupakan penduduk majoriti dalamm 29 daerah mengundi manakala masyarakat Islam terdiri daripada 34% pengundi di kerusi itu.

Ramli, 60 adalah dari suku Semai dan berasal dari Pos Mensoon, Ringlet, menurut temubual oleh The New Straits Times pada 2015.

Beliau pernah bertugas di ketua jabatan jenayah komersil di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang pentadbiran awam dari Universiti of East London. Beliau kini menyambung pengajian di peringkat PhD dalam bidang pengajian perniagaan di Universiti Antarabangsa Malaya-Wales (IUMW).

Ramli merupakan anak sulung daripada tujuh adik beradik, memilih kerjaya sebagai anggota polis dengan mengikut jejak langkah bapanya, Mohd Nor Abdullah yang merupakan bekas anggota Senoi Praaq, iaitu pasukan khas yang kini sebahagian daripada Pasukan Gerakan Am.

Skuad itu dilatih oleh Perkhidmatan Khas Udara British untuk membanteras komunis ketika itu. 

Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan 9 Mei bagi kerusi Cameron Highlands selepas naib presiden MIC C Sivarraajh yang merupakan calon BN memenangi pertandingan lima penjuru di kawasan itu terpalit dengan rasuah.

Pada PRU14, Sivarraajh menang 10,307 undi dengan majoriti tipis 597 undi ke atas calon DAP M. Manogaran (9,710).

Pada pilihan raya itu, PAS mendapat 3,587 undi, PSM (680) dan Berjasa (81).

Cameron Highlands merupakan salah satu daripada dua kerusi yang dimenang MIC pada PRU14.

Manogaran sekali lagi menjadi calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil kali ini. – 10 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen