Bonus, kenaikan gaji lebih rendah tahun ini, kata kumpulan majikan  


Andrew Chin

Kumpulan industri kecil dan sederhana meramalkan pekerja di Malaysia akan menikmati kenaikan gaji antara 3% dan 5% tahun ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2019

MAJIKAN telah memberi peringatan: Bonus dan kenaikan gaji tahun ini dijangka tidak akan meningkat berikutan ekonomi yang lemah. 

Perkara ini dinyatakan beberapa persatuan majikan yang memberitahu The Malaysian Insight bahawa sejak ekonomi lembab, bonus untuk 2018 tidak akan menjadi lebih baik. 

Purata bayaran sepatutnya adalah kira-kira setengah bulan hingga satu bulan. 

“Hanya syarikat yang terbabit dengan eksport sahaja mungkin membayar dua bulan gaji kerana mempunyai kelebihan daripada nilai Ringgit yang lemah, kata presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia Michael Kang.

Katanya, kebanyakan syarikat bersaiz kecil dan sederhana mengalami prestasi menurun tahun lalu.

“Sebahagian daripada hasi tahunan menurun sebanyak 20% hingga 30%. Namun, walaupun ekonomi teruk, sebuah syarikat masih boleh membayar 0.5 hingga satu bulan bonus menjelang Tahun Baharu Cina bulan depan,” kata Kang.

Menurutnya, pekerja bagaimanapun dijangka boleh mendapat kira-kira 5% kenaikan gaji.

“Purata kenaikan gaji adalah 10% tahun lalu. Adalah baik jika syarikat boleh menaikkan gaji antara 3% hingga 5%.

“Industri seperti pembinaan agak perlahan berikutan segelintir kontraktor juga meminta pekerja mereka mengambil potongan gaji.”

Perkembangan dalam industri pembinaan juga perlahan berikutan kontraktor meminta pekerja mengambil potongan gaji. . – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2019

Presiden Persekutuan Persatuan Guild China Malaysia Lum Kim Soong berkata, prospek upah dan kenaikan gaji masih positif.

Beliau berkata ekonomi pada separuh pertama tahun 2018 masih baik meskipun ia mengalami penurunan selepas perubahan dalam kerajaan.

“Kebanyakan industri masih boleh membayar bonus walaupun ia akan lebih rendah daripada tahun sebelumnya,” kata Lum.

Kenaikan gaji, bagaimanapun, tidak dijangka melebihi 10%, kata Lum.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) juga meramalkan bahawa gaji eksekutif dan kenaikan gaji akan lebih rendah pada tahun 2019 walaupun upah bukan eksekutif akan meningkat sedikit.

Dalam Laporan Kajian Gaji Eksekutif dan Bukan Eksekutif 2018, MEF berkata eksekutif dijangka menerima purata 2.14 bulan bonus pada 2018, 0.05% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Kakitangan bukan eksekutif boleh menjangkakan bonus 2.02 bulan berbanding 1.81 pada 2017.

Kajian itu mengatakan bahawa purata gaji eksekutif akan meningkat sebanyak 4.86% pada tahun 2019, sedikit lebih rendah daripada 4.88% yang diterima pada tahun sebelumnya.

Peningkatan gaji bukan eksekutif pada 2019 dijangka sekitar 4.89% berbanding dengan 4.88% pada tahun sebelumnya. – 10 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen