Hanya semalam di Gaza, pawagam dibuka sejak tiga dekad


Rakyat Palestin menikmati tayangan filem di Pawagam Samer untuk sesi khas satu malam. – Gambar AFP, 27 Ogos, 2017.

HAMPIR 300 penduduk Gaza berpeluang menonton wayang buat pertama kali dalam masa lebih 30 tahun, walaupun hanya untuk semalam saja.

Pawagam Samer di Gaza City yang selama ini terbiar selepas ditutup berpuluh-puluh tahun malam tadi menayangkan sebuah filem tentang nasib warga Palestin yang meringkuk dalam tahanan Israel.

Agensi berita AFP melaporkan tayangan dihadiri oleh penonton lelaki dan wanita yang duduk bercampur tanpa diasing-asingkan mengikut jantina.

Hamas mentadbir Gaza sejak 10 tahun lalu dan di wilayah sempit dan sesak dengan dua juta penduduk yang dikepung oleh rejim Yahudi itu, tidak ada pawagam yang beroperasi.

Tayangan satu malam itu mendapat kebenaran daripada Hamas.

Penganjur tayangan Ghada Salmi dipetik oleh AFP berkata acara itu satu “simbolik” kepada usaha yang lebih besar “mengetengahkan semua idea tentang sinema ke Gaza”.

Jawat Abu Ramadan, antara penonton yang hadir berharap suatu hari nanti akan ada pawagam di Gaza.

“Kami mahu hidup seperti orang lain, ada pawagam, ruang awam dan taman,” katanya.

Pawagam Samer dibuka pada 1944 tetapi menghentikan operasi pada tahun 1960-an. – AFP, 27 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen