BN perlu letak calon Orang Asli di Cameron Highlands 


SAYA telah terlibat dengan kerja-kerja jentera pilihan raya sejak PRU7 pada tahun 1980-an. 

Saya bermula dengan menampal poster untuk BN sejak kecil membantu ibu bapa yang juga jentera Umno akar umbi yang tegar dan setia. 

Sejak itu saya berpengalaman membuat hampir semua gerak kerja pilihan raya termasuk  kajian sikap, merayu undi, membawa pengundi ke tempat mengundi dan sebagainya.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas, saya tidak terlibat di Bilik Gerakan BN Pusat. 

Namun demikian, sebelum PRU, saya terlibat secara langsung di bilik gerakan BN untuk pilihan raya-pilihan raya kecil (PRK) sejak PRK Teluk Intan pada tahun 2014 yang dimenangi BN menewaskan DAP. 

Selepas itu saya terlibat dalam PRK Pengkalan Kubur pada tahun 2014 menewaskan PAS; dalam PRK Permatang Pauh pada tahun 2015 mengurangkan majoriti PKR; dan dalam PRK Sungai Besar pada tahun 2016 menewaskan Amanah.

Pada pilihan raya umum yang lepas, di Parlimen Cameron Highlands, BN menang. 

C. Sivarajjh yang mewakili BN mendapat 10,307 undi menewaskan M Manogaran wakil Pakatan Harapan yang mendapat 9,710 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Namun kali ini, BN bukan lagi kerajaan. Kita tidak lagi mempunyai kekuatan kewangan dan logistik seperti sebelum ini. 

Oleh itu, risiko untuk BN hilang kerusi ini kepada DAP meningkat. Apa yang tinggal kepada kita adalah semangat juang, pengalaman serta akal fikiran.

Untuk PRK Cameron Highlands kali ini, pada pandangan saya, untuk menangani risiko dan masalah di atas, peluang BN untuk menang adalah lebih baik sekiranya BN meletakkan calon Orang Asli.

Ini bukanlah kerana saya tidak yakin MIC boleh menang di sini, saya pasti calon MIC mempunyai peluang menang di Cameron Highlands seperti Sivarajjh sebelum ini. 

Sebelum ini MIC menang di Cameron Highlands pada PRU13 dan PRU14 dengan majoriti tipis sebanyak 462 dan 597.

Cadangan saya ini adalah kerana sebab-sebab berikut:

Pertama, undi penentu di Cameron Highlands sebenarnya terletak di tangan pengundi Orang Asli seramai 6,964 orang yang mewakili lebih 21% pengundi di Cameron Highlands. 

Pengundi Melayu di sini seramai 10,820 (34%), Cina 9,524 (30%) dan India 4,798 (15%).

Dalam PRU yang lepas, lebih 60% daripada pengundi Melayu mengundi BN. Dan sebahagian besar daripada pengundi Melayu yang tidak mengundi BN mengundi PAS iaitu seramai lebih 3,500 orang. 

Undi Melayu di sini rata-rata tidak menyokong PKR atau DAP dari dulu.

Adalah dianggarkan hampir kesemua pengundi Cina di sini mengundi DAP dalam PRU14 yang lepas, dan dijangka pada PRK kali ini hampir kesemua mereka akan sekali lagi mengundi DAP.

Undi India pula terpecah kepada dua iaitu kepada BN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Pada PRK kali ini ia akan pecah tiga kepada BN, MyPPP dan PSM.

Orang Asli pula rata-rata menyokong BN sebelum ini. Tahap sokongan yang tinggi daripada Orang Asli inilah yang menyebabkan BN boleh menang tipis di Cameron Highlands pada pilihan raya-pilihan raya umum yang lepas.  

Saya jangkakan tahap sokongan berdasarkan kaum tidak akan banyak berubah dalam PRK ini berbanding PRU14.

Namun apa yang menjadi persoalan ialah peratus keluar mengundi yang biasanya rendah dalam PRK berbanding PRU. 

Ini kerana ramai pengundi luar yang balik mengundi semasa PRU dijangka tidak akan balik mengundi semasa PRK. 

Hal ini telah dilihat dalam setiap pilihan raya kecil. Jika peratus keluar mengundi rendah, maka BN mungkin akan hilang majoriti tipis yang diperolehi sebelum ini dan mungkin kalah di kerusi ini.

Hal ini menjadi lebih teruk sekiranya Orang Asli tidak keluar mengundi. Walaupun Orang Asli di sini kebanyakannya bukan pengundi luar, namun mereka tinggal di 14 kampung yang jauh dan terpencil yang menyukarkan mereka untuk keluar mengundi. 

Tanpa kekuatan logistik dan sokongan jentera kerajaan seperti dahulu, bertambah sukar untuk menaruh harapan supaya mereka keluar mengundi kali ini.

Saya tahu kawasan Cameron Highlands ini dan telah pergi ke sana termasuk ke perkampungan Orang Asli semasa saya berkerja di TNB dua puluh tahun yang lepas dan beberapa kali selepas itu ketika lawatan kerja ke empangan hidroelektrik di sana.

Kedua, peluang BN akan lebih cerah apabila PAS tidak meletakkan calon di Cameron Highlands pada PRK kali ini. 

Jika kebanyakan daripada 3,500 pengundi yang mengundi PAS pada PRU lepas keluar mengundi BN kali ini, maka BN mempunyai peluang lebih cerah untuk menang. 

Penyokong-penyokong PAS di sini mungkin akan lebih bersemangat untuk keluar mengundi sekiranya calon BN itu adalah orang Melayu Islam atau Orang Asli yang beragama Islam.

Analisa di atas dibuat berdasarkan kepada maklumat-maklumat umum yang terbuka dan bukannya rahsia. 

Oleh itu, saya pasti kedua-dua belah pihak yang merangka strategi untuk BN mahupun PH telahpun tahu akan situasi di atas dan membuat persiapan yang sewajarnya. 

Kita berusaha dengan menggunakan akal sebaik mungkin. Walau bagaimanapun, menang atau kalah adalah di tangan Allah.

Ketiga, dari segi moral, sebelum ini tidak pernah ada ahli parlimen yang mewakili Orang Asli di Dewan Rakyat sejak Merdeka. 

Dan Parlimen Cameron Highlands ini mempunyai peratusan jumlah pengundi Orang Asli yang tertinggi di Malaysia. Serta, masalah-masalah di sini adalah masalah setempat melibatkan tanah, pendidikan dan kebajikan Orang Asli.

Oleh itu, telah tiba masanya untuk Orang Asli diberikan peluang dan sokongan untuk mewakili dan membela untung nasib mereka sendiri di Dewan Rakyat, bukan sahaja untuk Parlimen Cameron Highlands ini tetapi juga mewakili Orang Asli di seluruh pelosok negara. 

Saya harap BN akan membawa hasrat ini untuk kelangsungan perjuangan orang asli di Malaysia. – 9 Januari, 2019

* Isham Jalil merupakan Presiden Persatuan Sukarelawan Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen