-2.jpg)
MUTAKHIR ini kita melihat bermacam-macam jenis ungkapan tidak sopan yang diluahkan di media sosial, terhadap DYMM Sultan Kelantan dan Institusi Raja Berperlembagaan Malaysia. Lihat sahaja komen yang diberikan pada artikel mahupun berita berkenaan institusi Kesultanan kita, mesti wujud kata-kata yang kurang enak yang dapat kita baca.
Ini termasuk juga seorang lelaki berasal dari Sabah yang memuat naik komen tidak sopan ke atas institusi DiRaja Malaysia. Dengan menggunakan akaun Facebook bernama “Desmond Yongkor” beliau mengaku sebagai seorang pengarah strategik perang siber Parti Warisan Sabah dan telah melakukan perbuatan yang demikian secara berterusan meskipun banyak laporan polis telah dilakukan.
Bukan itu sahaja, akaun beliau juga didapati mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempersenda agama Islam dan orang Melayu. Maka terpanggil saya untuk menyarankan agar pihak berwajib, terutama sekali pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang tegas serta efektif terhadap sesiapa yang memberi komen yang bernada sinis dan tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan Malaysia dan mengganggu gugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Langkah ini adalah perlu, agar rakyat Malaysia faham bahawa sesiapa sahaja, tidak kira bangsa, agama mahupun kecenderungan politik, jika dia didapati menyindir, merendah-rendahkan dan menghina institusi Kesultanan Melayu, mereka akan tertakluk kepada tindakan undang-undang.
Jika dilihat di negara-negara jiran kita seperti Singapura dan Thailand, apa sahaja bentuk “online posting” mahupun perbuatan yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam akan dicegah lebih awal dengan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka.
Sudah tiba masanya kita menggunakan setiap instrumen undang-undang yang wujud dan mengukuhkan penguatkuasaannya demi mengangkat dan memelihara martabat institusi Raja Berperlembagaan Malaysia dan ketenteraman bersama. – 8 Januari, 2019.
Komen