Waytha Moorthy umum parti baharu MAP


Menyifatkan MAP sebagai parti unggul terbaru untuk masyarakat India, Waytha Moorthy berkata parti tersebut sudah memulakan proses pengambilan ahli sementara menunggu ia didaftarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2019.

MENTERI Perpaduan P Waytha Moorthy hari ini mengumumkan pembentukan sebuah parti berasaskan kaum baharu Pakatan Harapan, The Malaysian Advancement Party (Parti Kemajuan Malaysia) (MAP) dengan beliau sebagai presiden penaja. 

Menyifatkan MAP sebagai “parti unggul terbaru untuk masyarakat India”, Waytha Moorthy berkata parti tersebut sudah memulakan proses pengambilan ahli sementara menunggu ia didaftarkan.

“Pacuan keahlian MAP tidak digerakkan oleh permainan angka tetapi kerja sebenar dengan matlamat berasaskan ahli bagi meningkatkan penglibatan minoriti dalam pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Permohonan pendaftaran MAP difailkan jawatankuasa penaja pada Ogos dan sedang menunggu kelulusan akhir Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), tambah bekas pengerusi Hindraf itu.

“Minat untuk MAP datangnya kebanyakan daripada generasi muda daripada banyak negeri di Semenanjung serta rakyat Malaysia yang tidak terlibat dalam entiti politik yang lain.”

“Nilai dijunjung MAP termasuklah kebersamaan, kesaksamaan, kualiti, keaslian, integriti dan ketelusan bersama-sama usaha untuk mengembalikan semula niat datuk moyang kita dalam negara pelbagai budaya ini, adalah sumber tarikan,” katanya.

Waytha Moorthy juga berkata MAP akan melindungi, mempromosi dan memajukan masyarakat India “serta mempromosi perpaduan dan kesepaduan dalam negara”. – 8 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen