Edar poskad kempen baru cari 4 orang hilang


Low Han Shaun

Jurucakap Citizen Action Group on Enforced Disappearance (Caged), Thomas Fann memberi ucapan di hadapan hadirin pada majlis nyalaan lilin di dataran Merdeka malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Ogos, 2017.

BERIBU-ribu poskad dengan gambar berserta maklumat mengenai Pastor Koh dan tiga aktivis lain akan diedarkan untuk mendesak pihak polis menyelesaikan misteri kehilangan mereka.

Jurucakap Citizen Action Group on Enforced Disappearance (Caged), Thomas Fann berkata poskad itu akan diberikan kepada orang awam supaya ia akan sampai kepada Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar bagi menggesanya menyelesaikan kes kehilangan empat individu yang diculik. 

Mereka adalah Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth serta aktivis sosial Amri Che Mat.

“Kami juga mengadakan pungutan derma untuk keluarga Amri Che Mat sebanyak RM1000 sebulan. Kami akan memberikan maklumat lanjut nanti,” Kata Thomas Fann pada majlis nyalaan lilin untuk keempat-empat individu itu di Dataran Merdeka.

Majlis yang dihadiri kira-kira 50 orang itu diadakan di seberang jalan di mana acara latihan bersempena sambutan hari kemerdekaan bersama Perdana Menteri Najib Razak.

Tidak dipastikan sama ada Najib hadir dalam acara latihan itu.

Kini kes kehilangan itu disiasat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Kami juga sudah menghantar laporan kehilangan Koh ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tetapi masihnbelum mendapat maklum balas,” kata Fann.

31 Ogos ini, genap 200 hari Pastor Koh hilang sejak diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari lalu.

Isterinya, Susanna Liew berkata keluarganya terpaksa meneruskan hidup tanpa kehadiran suaminya di sisi mereka.

“Apabila saya hubungi pegawai yang menguruskan siasatan ini, dia selalu cakap ‘tak ada perkembangan’.

“Malah jemputan untuk berjumpa dengan KPN pada 21 Jun lalu pun tidak diendahkan. Ini sangat mengecewakan,” katanya. – 26 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen