BUAT julung kalinya Rizalman Ibrahim, seorang pekerja kilang cat, berjaya menghantar seorang daripada lima anaknya ke sekolah berasrama penuh (SBP).
Anaknya mendaftar di SBP Integrasi Gombak hari ini susulan dasar baharu kerajaan mengkhaskan 60% tempat untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Rizalman, 43, berpendapatan RM2,000 sebulan tanpa upah lebih masa. Isterinya seorang surirumah sepenuh masa dan mereka membesarkan anak di rumah sewa di Jalan Kebun, Shah Alam.
Beliau gembira kerana dasar baharu itu membolehkan keluarga daripada golongan B40 sepertinya dalam menghantar anak ke SBP.
“Dasar macam ini bagus, pendapatan rendah ini kalau yuran tinggi sangat kita pun tak mampu, dapat sekolah macam ini, kos rendah baguslah, dulu mereka yang kaya sahaja boleh masuk,” kata Rizalman.
Anaknya Muhamad Najmiey Farhan yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam.
Remaja yang bercita-cita menjadi ahli bomba itu memperoleh 6A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum ditawarkan tempat ke SBP tersebut.
“Saya rasa bertuah dapat diterima masuk ke sekolah ini, tapi pada masa sama saya juga rasa sedih kerana perlu tinggal di asrama dan jauh daripada keluarga,” katanya.

Najmiey merupakan salah seorang daripada 78 orang yang ditempatkan di sekolah itu untuk sesi ini mengikut kuota baharu, kata pengetuanya Norhayati Yusof.
Jumlah itu kini mencecah 57% daripada keseluruhan 136 tempat yang ditawarkan untuk pelajar – satu peningkatan ketara untuk jumlah penempatan pelajar Tingkatan 1 daripada kumpulan B40.
Jelasnya jika dibandingkan pada tahun lalu, hanya 13% daripada 120 kemasukan pelajar Tingkatan 1 terdiri daripada pelajar dari keluarga kumpulan B40, katanya ketika ditemui.
Kerajaan mengumumkan, dasar baharu tersebut untuk mengembalikan semula semangat SBP untuk membantu golongan kurang berada untuk memperoleh kemudahan pendidikan berkualiti.
Bagaimanapun, pengambilan tersebut tetap mengambil kira kecemerlangan akademik dan bukan berdasarkan pendapatan keluarga sahaja, tegas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pengarah Bahagian Pengurusan SBP Dan Sekolah Cemerlang Aidie Jantan yang meninjau proses pendaftaran di sekolah SBPI Gombak hari ini menegaskan pengambilan itu berdasarkan merit.
“KPM mengambil murid B40 yang memiliki potensi cemerlang akademik dan murid aktif dalam ko-kurikulum,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.
Bagi sesi persekolahan 2019, seramai 9,350 pelajar berjaya ditempatkan di SBP di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 52.28%, atau 4,888 calon merupakan pelajar berpotensi dari golongan B40 – meningkat 15.34% berbanding pengambilan 2018.
Pelajar golongan B40 juga hanya perlu membayar RM1 yuran makan sehari, berbanding pelajar bukan daripada keluarga B40 yang membayar RM3 sehari.

Pelajar di SBP daripada keluarga B40 juga layak menerima biasiswa kecil persekutuan, selain biasiswa daripada anak-anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik juga pada minggu lalu memberi jaminan tidak akan berlaku lambakan pelajar cemerlang di sekolah biasa dengan dasar berkenaan.
Menurutnya, setiap sekolah mempunyai kuota bilangan pelajar masing-masing, dan pelajar cemerlang tetap akan cemerlang walaupun meneruskan pengajian di sekolah menengah harian biasa. – 8 Januari, 2019.
Komen