.jpg)
SELAIN keengganan menguruskan projek yang diminta, penonjolan dan keaktifan Wan Saiful Wan Jan dalam politik Perlis mungkin menjadi salah satu punca beliau dilucutkan daripada jawatan sebagai setiausaha Bersatu Perlis.
Perlu diingat, Wan Saiful adalah satu nama besar di peringkat nasional di mana beliau adalah Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) parti selain timbalan pengerusi Biro Strategi dan Dasar.
Oleh itu, lantikan beliau sebagai setiausaha Bersatu Perlis pada 15 Julai lalu adalah langkah yang tepat bagi membantu memperkasakan parti di Perlis, tambahan pula dengan jawatan beliau sebagai pengerusi PTPTN.
Dapat dilihat setelah beliau dilantik ke jawatan itu, banyak aktiviti yang beliau buat di Perlis, seperti membantu mangsa ribut pada 22 September serta menyampaikan zakat pendidikan kepada pelajar sekolah pada 24 November.
Begitu juga dari sudut kepartian di mana beliau mendedahkan pertemuan dengan pemimpin Umno bagi menarik mereka menyertai Bersatu, termasuk terlibat dalam kemasukan Radzi Sheikh Ahmad pada 13 Disember.
Penonjolan dan keaktifan Wan Saiful yang masih muda ini mungkin sahaja mendatangkan kegusaran pemimpin tertentu mengenai kemungkinan beliau akan diberi kepercayaan mengambil-alih tampuk kepimpinan Bersatu Perlis.
Apatah lagi bila sebelum ini pun timbul banyak rungutan mengenai kewibawaan Pengerusi Bersatu Perlis, Amier Hassan dalam mengendalikan parti terutama faktor usia beliau yang sudah menjangkau 79 tahun.
Usia Amier ini tidak boleh dibandingkan dengan usia Dr Mahathir Mohamad kerana Dr Mahathir adalah kes yang berbeza di mana beliau terbukti berwibawa sebagai perdana menteri selama 22 tahun sedangkan Amier tiada rekod cemerlang.
Amier dilihat tidak menunjukkan corak kepimpinan yang memberangsangkan selaku pengerusi sehingga menyebabkan Bersatu kecundang di semua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Melucutkan Wan Saiful sebagai setiausaha tanpa dirujukkan kepada beliau atas alasan beliau perlu menumpukan perhatian kepada tugas sebagai sebagai pengerusi PTPTN adalah satu langkah tidak wajar.
Penamatan jawatan sepatutnya dibuat secara berhemah dengan memberi makluman kepada pemimpin terbabit serta disertakan dengan pemberian alasan yang munasabah bagi mengelakkan ia menimbulkan keributan dalam parti.
Soal pemegang dua jawatan adalah lumrah yang banyak berlaku dalam mana-mana parti, baik di peringkat negeri mahupun nasional, kerana pemegang jawatan kerajaan ada ketokohan dan kelebihan.
Dan apabila Wan Saiful mendedahkan ada pemimpin Bersatu Perlis memalsukan dokumen kewangan dan meminta beliau mengusahakan projek bernilai puluhan juta dengan tawaran tertentu kepada beliau, maka Bersatu Perlis memang ada masalah.
Kenyataan Amier yang Wan Saiful tidak patut mendedahkan perkara ini kerana ia kononnya umpama perbuatan meludah ke langit yang boleh memalukan Bersatu Perlis tidak menunjukkan beliau sebagai seorang pemimpin berwibawa.
Dalam era ketelusan dan pertanggungjawaban sekarang, sebarang cubaan membuat salah laku seharusnya dibendung awal-awal sebelum sampai ke peringkat lebih membarah sehingga boleh menyebabkan keyakinan rakyat terhakis.
Sebab itulah jaminan Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, bahawa sekiranya terdapat masalah integriti di kalangan kepimpinan maka parti akan membuat rombakan semula ke atas kepimpinan negeri perlu dipuji.
Perkara ini sangat penting kerana Bersatu adalah tonggak Pakatan Harapan (PH) di Perlis, di mana jika perjalanan bermasalah maka sudah tentulah turut menjejaskan PH di Perlis.
Lebih-lebih lagi bila pencapaian PKR di Perlis dalam PRU14 adalah lebih memberangsangkan berbanding Bersatu dengan memenangi 1 kerusi Parlimen dan tiga daripada lima kerusi DUN yang diperuntukkan kepadanya. – 8 Januari, 2019.
* Kamarul Zaman Yusof adalah pensyarah Universiti Utara Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen