Sultan Johor bakal Agong baharu?


PELETAKAN jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) membuka persoalan siapakah pengganti yang bakal dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Mengikut sejarah dan adat, pelantikan YDPA yang baharu adalah berdasarkan giliran dalam senarai kekananan.

Mengikut sistem penggiliran ini, sultan negeri seterusnya yang ditabal sebagai YDPA adalah Pahang diikuti Johor dan Perak.

Namun, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah ketika ini sedang gering.

Oleh itu, Majlis Raja-Raja dijangka akan mengumumkan Sultan Johor sebagai YDPA baru jika konvensyen sistem giliran ini dihormati dan dituruti.

Setakat ini, tidak pernah dalam sejarah Majlis Raja-Raja mengabaikan sistem giliran walaupun majlis tersebut berhak untuk berbuat demikian kerana secara asasnya, kuasa pelantikan dan pemecatan YDPA adalah kuasa mutlak dan budi bicara Majlis Raja-Raja.

Berita pelantikan Sultan Johor sebagai YDPA mungkin menggerunkan sesetengah pihak terutamanya pemimpin politik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana baginda Sultan Johor sangat lantang dalam menyuarakan pendapat.

Kelantangan baginda tidak berasaskan mana-mana parti politik tetapi berpaksikan prinsip kebajikan rakyat diutamakan. Atas sebab inilah di Johor, hubungan raja dan rakyat sangat akrab.

Sebagai contoh, Sultan Johor merupakan sultan pertama mengingatkan semua pihak untuk menghormati keputusan rakyat dalam pilihan raya 2018 dan menggesa kerajaan baru dibentuk secepat mungkin.

Kenyataan baginda penting bagi meredakan sebarang spekulasi ketika itu yang boleh mencetus keganasan atau pertelingkahan rakyat.

Dalam isu kemasyarakatan pula, Sultan Johor mengambil pendekatan tegas dalam memastikan tiada aktiviti yang boleh mengganggu-gugat keharmonian kaum.

Tentu kita masih ingat akan isu dobi yang melarang orang bukan Islam untuk menggunakan perkhidmatannya. Sultan Johor ketika itu secara tegas mengatakan Johor bukanlah negeri Taliban dan pengusaha tersebut dinasihatkan untuk menggunakan pendekatan lebih terbuka dalam perniagaan.

Begitu juga dalam isu sensitif keagamaan yang boleh mencetus ketegangan seperti kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Sealfield, Selangor yang megorbankan nyawa seorang anggota bomba.

Awal 2018, Johor turut berdepan situasi sama di mana kuil berusia 80 tahun didirikan di tanah persendirian dan enggan berpindah mengikut perintah mahkamah.

Faham akan implikasi buruk yang mungkin berlaku jika tindakan segera tidak diambil, Sultan Johor menjadi pendamai agar krisis tersebut dapat diselesaikan dan tidak berpanjangan.

Sultan Johor aktif dalam memberi kerjasama dengan kerajaan negeri, lebih-lebih lagi dalam polisi yang mengutamakan kebajikan rakyat seperti pembinaan rumah mampu milik di atas tanah baginda melalui Yayasan Sultan Ibrahim selain menyediakan biasiswa pendidikan kepada pelajar yang memerlukan.

Semua ini dilaksanakan bukan untuk dijadikan sebagai modal politik tetapi bagi memastikan nasib rakyat Johor terus terbela.

Berdasarkan model dan peranan Sultan Johor di peringkat negeri, adalah munasabah jika dikatakan Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dan bertuah jika baginda Sultan Johor dilantik menjadi YDPA.

Institusi YDPA bukan sahaja berperanan sebagai simbol tetapi akan diperkasakan lagi dengan penyertaan aktif Sultan Johor di peringkat nasional dalam membela nasib rakyat, memberi suara kepada yang lemah tanpa mengira kepentingan politik.

Walaupun wujud kritikan daripada negeri lain bahawa keluarga diraja Johor terlalu mementingkan semangat kenegerian dan sering memperlekehkan sistem persekutuan, pengiktirafan harus diberikan kepada konsep “Muafakat dan Bangsa Johor” yang diilhamkan oleh keluarga diraja Johor.

Konsep ini jika dikaji secara objektif merupakan konsep yang sangat progresif dan inklusif di mana individu daripada segala kaum dan agama berbangga dengan identiti mereka sebagai “Bangsa Johor”.

Muafakat mereka wujud bukan kerana bangsa atau agama tetapi kerana titik persamaan yang wujud sebagai bangsa Johor dan semangat kekitaan yang disemai berdasarkan tempat lahir bukan elemen lain.

Lihat sahaja sokongan dan kesetiaan tidak belah bahagi rakyat Johor terhadap Sultan Johor dan perlawanan bola sepak JDT juga menjadi bukti kesepakatan rakyat Johor.

Bayangkan konsep muafakat Johor ini dicontohi dan diguna pakai di peringkat nasional sebagai “Muafakat Malaysia”? Mungkin impian kita untuk melihat Malaysia lebih bersatu dalam kepelbagaian masyarakat akan menjadi kenyataan. – 8 Januari, 2019.

* Fadhli Abd Rahman adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen