MALANG tidak berbau buat seorang lelaki warga asing selepas terbabit dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri selepas meragut seorang penunggang motosikal wanita di Jalan Tun Razak menghala ke Bulatan Pahang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11.44 pagi itu, suspek berusia 30-an itu didapati terjatuh dari motosikalnya jenis Yamaha LC selepas bergesel dengan penunggang motosikal lain.
Difahamkan, suspek yang tiada dokumen pengenalan diri itu kemudian ditahan seorang anggota Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas dimaklumkan oleh orang awam mengenai tindakan awal suspek meragut mangsa sebelum diserahkan kepada anggota polis.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Azman Mahmood berkata, Skuad Penyelamat DBKL berkenaan secara kebetulan dalam perjalanan pulang ke ibu pejabat dari Pejabat Jabatan Penguatkuasaan.
Katanya, ketika dalam perjalanan, anggota berkenaan melihat seorang penunggang motosikal wanita yang dipercayai mangsa langgar lari.
“Ketika memberi rawatan awal kepada wanita yang dianggarkan berusia 50-an itu, terdapat satu lagi kemalangan di laluan bertentangan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian membabitkan peragut berkenaan.
“Seorang anggota telah ditugaskan untuk membantu suspek sebelum dimaklumkan orang awam bahawa suspek sebenarnya seorang peragut yang baru sahaja meragut seorang penunggang motosikal wanita,” katanya ketika dihubungi.
Susulan itu, katanya, anggota berkenaan telah menahan suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan susulan.
“Saya ingin berterima kasih kepada kempat-empat anggota berkenaan atas tindakan pantas membantu memberi rawatan awal kepada wanita berkenaan dan menahan peragut tersebut.
“Keempat-empat anggota berkenaan adalah Mohd Shahrizal Abu, Shahrul Azlan Sulaiman, Muhammad Hafiz Ismail dan Ahmad Fikhrie Che Baharom,” katanya. – 7 Januari, 2019.
Komen