Majlis Raja-Raja mesyuarat 24 Jan pilih Agong ke-16


Kalidevi Mogan Kumarappa

Mesyuarat Khas bagi acara angkat sumpah bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya yang baharu akan diadakan pada Khamis, 31 Januari. – Gambar EPA, 7 Januari, 2019.

MESYUARAT Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ditetapkan pada 24 Januari.

Mesyuarat Khas bagi acara angkat sumpah kedua-dua jawatan itu pula akan diadakan pada Khamis, 31 Januari, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad.

Dalam kenyataannya, Syed Danial berkata ia diputuskan dalam pertemuan Raja-Raja Melayu pagi ini di Istana Negara.

Katanya, Raja-Raja Melayu juga mengambil maklum dan menghormati hasrat Sultan Muhammad V untuk turun takhta Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa semalam.

“Raja-Raja turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat yang Sultan Muhammad V, laksanakan dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong, mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari 2019,” katanya.

Mesyuarat berkenaan susulan tindakan Sultan Muhammad V meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa semalam.

Mesyuarat hari ini antara lain dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir adalah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; dan Sultan Kedah,Sultan Sallehuddin Shah.

“Sultan Pahang tidak berangkat ke pertemuan itu kerana Baginda kurang sihat dan Sultan Selangor tidak berangkat kerana berada di luar negara,” kata Syed Danial dalam kenyataan media itu. – 7 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen