Polis siasat entri menghasut peletakan jawatan Agong di media sosial


Desmond Davidson

PIHAK polis membuka kertas siasatan berhubung kenyataan menghasut di media sosial peletakkan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Negara (KPN), Mohamad Fuzi Harun berkata entri berkenaan didakwa tidak wajar dan menghasut.

Beliau menambah terdapat banyak laporan polis dibuat terhadap beberapa entri media sosial tetapi tidak dapat memberikan jumlahnya.

Beliau berkata siasatan akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

“Kami akan merujuknya kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan mengenai apa yang perlu dilakukan polis,” katanya kepada pemberita di Kuching.

Fuzi juga menasihatkan rakyat Malaysia “agar tidak mengeksploitasi keadaan” atas apa jua alasan.

“Harapan kami dalam tempoh peralihan ini adalah tiada yang mengeksploitasi keadaan dan menimbulkan persepsi negatif.”

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz semalam berkata Sultan Muhammad V melepaskan jawatan sebagai Agong sejajar dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Wan Ahmad dalam satu kenyataan berkata Sultan Kelantan juga memaklumkan secara rasmi kepada Raja-Raja Melayu menerusi surat kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Mengenai perkara lain, KPN berkata siasatan penculikan lima penduduk Sarawak oleh tentera Indonesia pada 11 Disember akan dihantar kepada peguam negara minggu depan.

Mereka yang ditangkap berumur antara 15 hingga 64 dari kampung Danau Melikin, sedang menebang pokok di hutan kira-kira 400 meter dari sempadan Serian-Kalimantan ketika ditangkap oleh dua lelaki yang mendakwa sebagai askar Indonesia.

Ia mencetuskan kegelisahan aktiviti diplomatik yang menyebabkan Kuala Lumpur menghantar nota protes kepada Jakarta mengutuk pencerobohan dan penahanan itu.

Fuzi berkata langkah keselamatan diperketatkan di kampung sepanjang sempadan untuk memastikan insiden serupa tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau berkata walaupun langkah proaktif diambil untuk mengetatkan keselamatan dan mencegah serangan tentera Indonesia, ia bukan melibatkan polis sahaja tetapi bersama tentera dan agensi keselamatan lain.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyelaraskan tindakan itu.” – 7 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen