SIASATAN kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan ditangguhkan sementara kerana kelewatan laporan bedah siasat kedua dikeluarkan, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Polis tidak dapat meneruskan siasatan tanpa laporan bedah siasat kedua itu, katanya di Kuching, Sarawak hari ini.
“Kami mahu cepatkan siasatan. Semua orang tanya tentang perkembangan kes ini,” kata Fuzi lagi.
“Jadi kami hanya boleh bersabar dan tunggu laporan.
“Ia (kelewatan) itu pastinya menjejaskan siasatan.”
Fuzi bagaimanapun tidak dapat menjelaskan mengapa kelewatan berlaku, berkata ia bukan bidang kuasa polis.
Nazrin ditemui maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya sehari sebelum Hari Raya tahun lepas.
Laporan awal menyebut beliau maut kerana letupan telefon bimbitnya.
Polis bagaimanapun menukar punca kematian kepada pembunuhan selepas siasatan pasukan forensic Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati ada kesan petrol ditemui di bilik dan mayat Nazrin.
Beberapa orang termasuklah balu Nazrin, Samirah Muzaffar, bekas suaminya, dan dua anak mereka ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan.
1 Oktober lalu, polis memohon arahan mahkamah untuk menggali semula mayat Nazrin untuk proses bedah siasat kedua dijalankan.
Penggalian mayat dilakukan pada 8 Oktober dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
Permohonan polis itu pada mulanya dicabar balu Nazrin, tetapi ditolak Mahkamah Rayuan. – 7 Januari, 2019.
Komen