HARGA menu makanan segera KFC naik kerana pemegang francais mahu menampung kenaikan kos disebakan terikat dengan perjanjian, kata Saifuddin Nasution.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata ia merupakan antara penjelasan yang diberikan syarikat tersebut, QSR Brands (M) Holdings Bhd.
Ia susulan tindakan syarikat itu menaikkan harga menu antara 20 sen hingga 30 sen pada minggu terakhir Disember lalu, kata Saifuddin lagi dalam sidang media di kementeriannya.
“Sudah tentu alasan mereka kos pengeluaran yang meningkat dari satu (peringkat) ke satu (peringkat).
“Mereka francais, dalam memegang lesen francais, alasan mereka ada beberapa prasyarat francais, misalnya bahan yang mereka guna dalam resepi.
“Dalam perjanjian mereka disyaratkan beli dengan pembekal dinamakan pemegang francais, perjanjian francais mengikat mereka,” katanya.
Saifuddin berkata, kementeriannya juga tidak boleh mengarahkan syarikat berkenaan menurunkan harga mereka sewenang-wenangnya.
“Kita tidak boleh jumpa dan arahkan mereka turunkan harga, kita kena dengar daripada rakyat dan peniaga,” kata Saifuddin lagi di Putrajaya.
Syarikat itu juga katanya merupakan antara penyumbang terbesar cukai kepada negara, antara RM400 hingga RM450 juta setahun.
Saifuddin juga berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama pemilik syarikat makanan segera McDonalds berhubung isu sama hari ini. – 7 Januari, 2019.
Komen