Lebih molek Azmin bantah guna saluran parti, kata Saifuddin


Mohd Farhan Darwis

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sepatutnya suarakan bantahan melalui saluran rasmi parti dan bukannya secara terbuka, kata Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution.

Saifuddin berkata, sebagai sebuah parti reformasi, PKR mempunyai saluran di pelbagai peringkat untuk ahlinya menyuarakan rungutan atau bantahan mereka.

“Jadi sebagai parti reformasi, PKR yang sifatnya dinamik membuka ruang seluasnya kepada pimpinan dan anggota manfaatkan setiap proses membuat keputusan. Dalam kongres kita sediakan, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kita buka peluang.

“Berdasarkan ruang yang diberikan, lebih molek lebih cantik jika saluran parti yang tersedia dapat dimanfaatkan,” katanya kepada pemberita, di Putrajaya hari ini. 

Beliau mengulas kritikan terbuka Azmin terhadap pucuk pimpinan parti melantik tokoh yang kalah dalam pemilihan parti ke dalam MPP. 

Saifuddin menjelaskan, proses membuat keputusan tersebut sangat jelas dalam PKR.

“Pertama tentang keputusan dan dasar parti ditentukan kongres tahunan, mesyuarat MPP, biro politik, dan pekeliling setiausaha agung dari masa ke semasa. 

“Jadi semua platform itu tersedia untuk parti, sama ada ahli biasa atau pimpinan pusat, negeri, atau cabang, mereka boleh manfaatkan sampaikan rungutan, keluhan dan sebagainya,” kata Saifuddin lagi.

Azmin dilihat bergeser dengan Anwar apabila presiden PKR itu melantik lawannya dalam pemilihan timbalan presiden, Rafizi Ramli dan juga Saifuddin ke dalam MPP.

Azmin pada akhir bulan lalu membangkitkan bahawa terdapat pemimpin diberikan ruang untuk memimpin PKR walau menyebabkan perpecahan dalam parti ketika pemilihan. 

Kritikan keras itu dipercayai ditujukan kepada Rafizi yang dilantik Anwar sebagai naib presiden walaupun tewas kepada Azmin dalam perlawanan merebut jawatan timbalan presiden.

Saifuddin, juga dalam kem Rafizi, dilantik semula sebagai setiausaha agung PKR. – 7 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen