Raja-Raja Melayu teliti tarikh mesyuarat khas


Kalidevi Mogan Kumarappa

Tarikh mesyuarat khas untuk menentukan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dijangka diputuskan dalam masa terdekat. – Gambar EPA, 7 Januari, 2019.

TARIKH mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 menjadi agenda utama mesyuarat Majlis Raja-Raja dihadiri enam Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini.

Difahamkan, tarikh untuk mesyuarat khas tersebut bagaimanapun tidak diputuskan pada hari ini dan hanya akan diputuskan dalam masa terdekat.

Difahamkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin juga difahamkan diputuskan dalam mesyuarat hari ini untuk meneruskan tugas memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda difahamkan akan meneruskan tugas tersebut sehingga Yang di-Pertuan Agong ke-16 dipilih secara rasmi.

Selain Sultan Nazrin, turut hadir dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu hari ini adalah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tiga lagi yang turut hadir adalah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

Mesyuarat khas itu adalah susulan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V berkuat kuasa serta merta, semalam.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong memangku tugas Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh percutian Sultan Muhammad V selama dua bulan sehingga 31 Disember lalu.

Enam kenderaan rasmi dilaporkan memasuki Istana Negara mulai jam 10.10 pagi dan mula meninggalkan kompleks istana pada jam 12.25 tengahari.

Kenyataan rasmi mengenai butiran mesyuarat berkenaan difahamkan akan dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Syed Danial Syes Ahmad hari ini.

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong baharu perlu dipilih berdasarkan tertib giliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Berdasarkan senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, baginda kini gering.

Giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar. – 5 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen