BERATUS-ratus penganut Syiah hari ini mula mengebumikan mangsa kejadian serangan bom bunuh diri dan pistol ke atas sebuah masjid di Kabul semalam. Angka kematian dilaporkan meningkat kepada 28 orang.
Saudara-mara dan rakan yang masih dalam keadaan terkejut membawa satu persatu keranda ke tanah perkuburan.
Empat penyerang meletupkan bom serta melepaskan tembakan di dalam masjid Emam Zaman di utara ibu negara Afghanistan selama empat jam ketika solat Jumaat.
“Kami sering ke masjid ini untuk menghadiri upacara Ashura, tetapi hari ini saya menanam jasad mereka di sini,” kata Hussain Ali yang kehilangan rakannya dalan serangan tersebut.
“Ini bukan kali pertama ia berlaku, ia berterusan. Kerajaan gagal menjamin keselamatan kami. Malah semua orang bimbang jika berlaku sesuatu hari ini,” tambah Hussain.
IS melalui pusat propagandanya, Amaq mengakui melakukan serangan itu yang turut mencederakan 50 orang.
Puak Syiah yang merupakan minoriti di Afghanistan sering dijadikan sasaran militan IS sepanjang tahun. Mereka menuduh pasukan keselamatan tidak cukup memberi perlindungan kepada mereka.
Awal bulan ini, 33 jemaah terbunuh manakala 66 cedera dalam serangan bunuh diri yang didakwa dilakukan IS di sebuah masjid Syiah di bandar Herat di barat Afghaistan.
“Jumlah kematian terkini dari hospital-hospital di Kabul adalah 28 termasuk tiga wanita, manakala 50 cedera termasuk sepuluh wanita dan kanak-kanak,” kata jurucakap kementerian kesihatan, Mohammad Ismail Kawoosi. – AFP, 26 Ogos, 2017.
Komen