Agong baharu perlu dipilih dalam tempoh 4 minggu


The Malaysian Insight

Majlis Raja-Raja akan bersidang mengundi siapakah antara mereka bakal ditabal untuk berdiam di Istana Negara selepas Sultan Muhammad V meletak jawatan semalam. – Gambar EPA, 7 Januari, 2019.

MAJLIS Raja-Raja akan memilih daripada kalangan mereka bakal Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas Sultan Kelantan Sultan Muhammad V meletak jawatan semalam.

Menurut senarai giliran berdasarkan kedudukan Sultan paling kanan, Sultan yang berada di senarai teratas untuk menjawat jawatan tersebut adalah Sultan Pahang, Johor atau Perak.

Seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja berkuasa memilih daripada kalangan mereka bakal Agong yang akan menjadi ketua Persekutuan Malaysia bagi tempoh lima tahun.

Perkara 38 (6) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh Majlis Raja-Raja menyatakan:

“Anggota-anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi yang berikut,” termasuklah “memilih Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya, atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong.”

Peruntukan juga menyebut yang Agong perlu dipilih Majlis bagi tempoh penggal lima tahun tetapi pada bila-bila masa boleh meletak jawatan dengan menulis hasratnya kepada Majlis. Agong juga boleh dipecat oleh Majlis.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, pemilihan Agong baharu perlu dilakukan dalam tempoh tidak lebih empat minggu selepas jawatan itu dikosongkan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan bertanya setiap Sultan sama ada baginda berhasrat menjadi Agong atau Timbalan Agong. Hanya sembilan Sultan Melayu daripada Majlis Raja-Raja layak memegang jawatan tersebut, dan hanya mereka boleh mengundi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V meletak jawatan semalam, yang pertama dalam sejarah raja berpelembagaan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2019.

Secara adatnya, Sultan paling kanan akan dipilih. Tetapi peraturan ini sudah lama tidak diamalkan sejak semua sembilan Sultan pernah menjadi Agong. Kerana itu, Majlis kini menggunakan senarai giliran Sultan untuk menjadi Agong berdasarkan kekananan negeri mereka.

Sultan yang masih belum dewasa atau yang menyatakan hasrat tidak mahu terpilih tidak layak dipilih.

Seorang Sultan juga boleh hilang kelayakan, sekiranya Majlis menerusi undi rahsia memutuskan yang baginda tidak layak menjalankan tugas dan perana Agong disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya, atau apa-apa sahaja sebab diputuskan Majlis. Majoriti lima Sultan diperlukan untuk menentukan sama ada calon Agong layak atau tidak.

Undi Diraja sulit

Menurut laman sesawang Majlis Raja-Raja, selepas tarikh pemilihan dipersetujui, semua sembilan Sultan akan bersidang bersama Penyimpan Mohor Besar Raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja sahaja.

Setiap Sultan akan diberikan kertas undi yang tidak bertanda, tidak bernombor dengan pen dan dakwat yang sama. Mereka akan ditanya sekiranya calon paling kanan menurut senarai giliran layak untuk jawatan Agong. Setiap Sultan perlu menulis di kertas undi untuk menolak atau menerima calon tersebut.

Kertas undi itu seterusnya akan dimasukkan ke dalam kotak undi dan dikira bersama dengan Sultan paling muda yang tidak layak dipertimbangkan untuk jawatan Agong dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Kertas undi itu selepas dikira akan dirincih dan dibakar.

Calon perlu menerima sekurang-kurangnya lima undi Sultan sebelum dipilih dan ditawarkan jawatan Agong. Jika calon pertama tidak menerima undi mencukupi, proses pengundian akan dilakukan sekali lagi untuk calon seterusnya dalam senarai giliran.

Sebaik Agong dipilih, proses sama akan diadakan untuk jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. – 7 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen