Anak Musa Aman angkat sumpah di Parlimen


Bede Hong

Yamani Hafez Musa, 39, adalah ahli Parlimen terakhir angkat sumpah selepas diberi amaran akan hilang kerusi selepas tidak hadir sidang sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2019.

AHLI Parlimen Sipitang, Sabah Yamani Hafez Musa mengangkat sumpah di kamar khas Parlimen pada jam 10 pagi tadi.

Majlis angkat sumpah tersebut yang berlaku di hadapan Speaker Dewan Mohd Ariff Md Yusod berlangsung tidak sampai sepuluh minit dan disaksikan ahli keluarga.

Bapa Yamani, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman tidak hadir.

Yamani, 39, adalah ahli Parlimen terakhir angkat sumpah selepas diberikan amaran kerana tidak pernah hadir sidang sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Mohd Ariff mengucapkan tahniah kepada Yamani dalam ucapan ringkas selepas majlis angkat sumpah.

“Walaupun Yang Berhormat baru angkat sumpah, saya yakin yang Yang Berhormat akan menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dengan terhormat, seperti diperlukan institusi ini.”

Tarikh akhir Yamani perlu angkat sumpah adalah pada 16 Januari depan.

Yamani diiringi pengawal masuk ke kamar tersebut, berbelas anggota polis pula berkawal di luar.

Yamani Hafez Musa jadi tumpuan selepas tidak angkat sumpah dan tidak dapat dikesan sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu, menimbulkan khabar angin beliau diburu pihak berkuasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2019.

Wartawan diminta meninggalkan kawasan tersebut selepas majlis angkat sumpah.

Yamani “hilang” selepas pilihan raya 9 Mei lalu, dilaporkan mengiringi Musa ke London untuk rawatan perubatan pada 17 Mei. Beliau kini adalah wakil rakyat Bebas selepas keluar Umno Sabah 12 Disember lalu. Pada hari itu, empat ahli Parlimen dan sembilan Adun Sabah keluar Umno. 

Yamani kali terakhir dilihat berada di London dengan Musa, dalam sekeping gambar tular di media sosial.

Apabila Musa kembali ke Sabah dan mengangkat sumpah sebagai Adun pada 5 September lalu, Yamani tidak menemaninya.

Beliau juga tidak dilihat berada bersama Musa apabila bekas ketua menteri itu berada di Sabah untuk mendengar penghakiman saman mencabar pelantikan ketua menteri pada 7 November lalu.

Khabar angin bertiup kencang dalam kalangan politikus Sabah yang Yamani sedang diburu pihak berkuasa.

Yamani terkait dengan pemusnahan hutan simpan di Tawau, melibatkan pembinaan projek Tawau Green Energy Geothermal Power Plant.

Kawasan itu ditebang pada 2013 untuk memberi laluan kepada pembinaan tapak kuasa geoterma pertama negara, Yamani adalah pemegang saham terbesar projek tersebut. – 7 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen