SELEPAS khabar angin dan spekulasi bertiup kencang di media sosial, Sultan Muhammad V berundur selaku Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Walaupun sebab sebenar baginda meletak jawatan selepas hanya 750 hari bertakhta selaku Agong tidak akan dinyatakan secara rasmi, Sultan Muhammad V sentiasa jadi tumpuan negara- baik dalam kisah pertabalan baginda menggantikan ayahndanya sebagai Sultan Kelantan, tuduhan baginda sengaja melengahkan pelantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selepas PRU14, malah jenakanya “sila duduk, jangan lari” di Dewan Rakyat akan terus dikenang.
Sultan bujang yang akhirnya turun takhta Agong selepas dakwaan baginda bernikah secara rahsia tersebar luas sentiasa jadi buah mulut ramai apatah lagi dengan khabar angin gaya hidup mewahnya.
Tujuh bulan ini dipenuhi kisah sensasi institusi raja Kelantan.
Isu pertama timbul selepas Pakatan Harapan menang bergaya pada PRU14 Mei lalu, apabila timbul cakap-cakap yang Sultan Muhammad V sengaja melengahkan majlis angkat sumpah Dr Mahathir.
Rakyat Malaysia termangu-mangu menonton siaran langsung di kaca televisyen apabila Dr Mahathir dan isteri Dr Siti Hasmah Ali, serta barisan kepimpinan PH yang lain dibiarkan menunggu berjam lamanya menantikan ketibaan Agong bagi majlis angkat sumpah.
Istana Negara kemudiannya mengeluarkan kenyataan keesokan harinya menafikan majlis angkat sumpah itu sengaja dilengahkan, berkata yang Agong menjalankan tugas dan peranannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Baginda, bagaimanapun adalah pemimpin yang bertanggungjawab menyelia peralihan kuasa pentadbiran yang aman daripada Barisan Nasional kepada PH.
Baginda jugalah yang mempercepatkan proses pengampunan Anwar Ibrahim.
Imej baginda juga disenangi rakyat: berjubah, berkopiah dan bersandal.
Dikenali kerana hubungan rapatnya dengan bekas perdana menteri Najib Razak, Sultan Muhammad V akan sentiasa dikenang kerana sendanya dalam Dewan Rakyat pada hari pertama persidangan, “sila duduk, jangan lari” titahnya menimbulkan gelak ketawa wakil rakyat yang baharu angkat sumpah.
Jenaka itu merujuk kepada tindakan wakil rakyat BN yang sehari sebelumnya keluar dewan kerana membantah pelantikan speaker Dewan Rakyat.
Tidak sampai sebulan selepas itu, timbul pula isu pelantikan peguam negara yang baharu selepas calon pilihan sebulat suara PH, Tommy Thomas tidak memenuhi kriteria diminta Agong- Melayu atau Islam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz kemudiannya menjelaskan yang isu itu tidak pernah berkait soal kaum, tetapi kebimbangan Agong adalah sama ada pelantikan Tommy akan menjejaskan hak Melayu, Islam dan Bumiputera.
Isu itu hanya berjaya diselesaikan selepas Sultan Muhammad V diyakinkan Anwar pada satu pertemuan malam di Kota Bharu yang pelantikan Thomas selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkenan Agong untuk Tommy hanya dikeluarkan hampir tengah malam selepas pertemuan itu.
Tidak lama selepas itu, Sultan Muhammad V sekali lagi jadi tumpuan selepas wartawan veteran dan penasihat rapat Dr Mahathir, A Kadir Jasin menulis dalam blognya yang RM256.9 juta dibelanjakan untuk Sultan Muhammad V hanya dalam tempoh 16 bulan baginda menjadi Agong.
Sumber maklumat itu bagaimanapun tidak didedahkan Kadir.
Pecah juga berita tentang Sultan Muhammad V bermalam di hotel mewah di Singapura.
Agong kemudiannya memutuskan untuk tidak meraikan hari keputeraannya dan menyerahkan wang peruntukan majlis tersebut kepada Tabung Harapan bagi membantu masalah kewangan negara.
Bulan lepas, media sosial dan portal berita asing gempar dengan berita bergambar tentang pernikahan Sultan Muhammad V dengan bekas ratu cantik, Oksana Voevodina. Istana Negara bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan berita tersebut.
Majlis itu dikatakan dijalankan penuh rahsia sehingga Dr Mahathir sendiri berkata beliau tidak dapat mengesahkan ia berlaku.
Bertambah hebat kesannya, apabila klip video dan gambar “isteri baharunya” tersebar selepas majlis perkahwinan itu.
Semua ini berlaku ketika baginda sedang bercuti dua bulan, yang sepatutnya untuk tujuan perubatan.
Pertabalan Sultan Muhammad V ke takhta Kelantan juga penuh kontroversi.
Dikenali dengan nama Tengku Muhammad Faris Petra, baginda menggantikan ayahndanya Sultan Ibrahim Petra sebagai Sultan Kelantan selepas menyingkirkan adindanya daripada senarai pewaris takhta.
Baginda ditabalkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 dan menggunakan nama Muhammad V selepas itu.
Sultan Ismail tidak bersetuju dengan keputusan majlis menabalkan anak lelakinya itu sebagai Sultan Kelantan, dan pada 2010 peguamnnya memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mengisytiharkan pertabalan itu tidak sah. Petisyen itu digugurkan.
Sultan Muhammad V ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 2016 dan majlis pertabalan rasmi dijalankan pada 24 April 2017. Baginda berusia 47 tahun.
Ini adalah kejadian pertama Agong meletak jawatan sebelum tamat penggal lima tahun. – 6 Januari, 2019.
Komen