TIGA kumpulan pemerhati bebas pilihan raya menggesa orang ramai untuk memantau proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan melaporkan sebarang unsur pelanggaran undang-undang pilihan raya.
Pemimpin dari kumpulan Bersih, ENGAGE dan Tindak Malaysia berkata mereka akan bekerjasama untuk mengerahkan 26 pemerhati sepanjang tempoh kempen dan pengundian PRK itu dari 12 hingga 26 Januari ini.
“Kami mengulangi gesaan kepada orang awam untuk melaporkan kepada kita, terutamanya mereka di lapangan, tentang aktiviti memancing undi dalam apa jua bentuk.
“Kami akan melakukan tugas kami berdasarkan pengalaman, tetapi kami mahu orang ramai memaklumkan kepada kami atau Suruhanjaya Pilihan Raya secepat mungkin,” kata ketiga-tiga kumpulan itu menerusi satu sidang media bersama hari ini.
Pengarah Ekskutif Bersih Yap Swee Seng, Ng Wan Hua dari ENGAGE, Alexzander Johnson dari Tindak Malaysia dan ahli jawatankuasa Pemandu Bersih Danesh Chacko, masing-masing menggesa mana-mana saksi pelanggaran undang-undang pilihan raya untuk tampil mengemukakan aduan kepada Bersih.
“Kami memberi amaran kepada semua calon dan parti politik yang bertanding di Cameron Highlands untuk mengelak melakukan kesalahan pilihan raya pada sepanjang kempen.”
Kumpulan pemerhati itu berkata calon tidak boleh menggunakan jentera kerajaan dalam aktiviti mereka, dan perlu mengelak daripada membangkitkan topik perkauman dan agama dalam kempen mereka.
“Kami berharap aktiviti kempen mereka dijalankan berdasarkan manifesto pilihan raya mereka, perkhidmatan yang ingin mereka berikan jika dipilih sebagai ahli Parlimen, sentiasa mematuhi Akta Pilihan Raya dan tidak cuba melanggar undang-undang.”
PRK Cameron Highlands diadakan semula selepas mahkamah pilihan raya mendapati Barisan Nasional terlibat dalam aktiviti rasuah dengan membeli undi Orang Asli bagi memenangi kerusi kawasan itu.
Orang ramai boleh mengemukakan aduan kepada Bersih 2.0 menerusi talian 03- 7931 4444, 017 - 872 5418, 017 - 872 5419 atau menggunakan aplikasi WhatsApp menerusi nombor 011 - 17721546.
Selain itu orang ramai juga boleh mengunjungi laman web aduan.pemantau.org untuk tujuan sama. – 6 Januari, 2019.
Komen