DR Maszlee Malik mengesahkan sudah letak jawatan presiden UIAM tetapi enggan mengulas calon penggantinya.
Menteri pendidikan itu berkata surat peletakan jawatan telah pun ditandatanganinya dan UIAM akan membuat pengumumkan rasmi mengenai peletakan jawatan itu.
“Saya kini bukan lagi Presiden UIAM, surat peletakan jawatan pun telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman dari UIAM termasuklah individu yang bakal menggantikan saya.
“Perletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
The Malaysian Insight minggu lalu mendedahkan bekas timbalan rektor UIAM, Dr Mohd Daud Bakar dicadang sebagai calon bagi menggantikan Maszlee yang menyandang jawatan itu sejak September lalu.
Semalam pula, rektornya Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata calon pengganti Maszlee itu masih dibincangkan di antara Kementerian Pendidikan dan Sultan Pahang selaku ketua perlembagaan universiti.
Sehingga semalam, beliau berkata Maszlee masih menjalankan tugas sebagai presiden kerana tidak ada surat rasmi peletakan jawatan.
Awal November lalu, selepas dua bulan bergelut kontroversi berhubung kedudukannya sebagai presiden UIAM, Maszlee mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan selepas proses pelantikan penggantinya selesai.
Ketika itu, beliau membayangkan proses tersebut dijangka selesai pada hujung November.
Maszlee juga ketika itu menyebut calon penggantinya seorang yang terkenal di peringkat antarabangsa, tiada jawatan politik, dan berpengalaman dalam pengurusan universiti.
Mohd Daud meninggalkan UIAM pada 2005 untuk menubuhkan syarikat perunding kewangan Islam, Amanie Advisors, yang kini beroperasi di enam kota raya dunia.
Beliau juga menjadi ahli lembaga syariah beberapa bank antarabangsa. Di Malaysia, Mohd Daud mempengerusikan tiga majlis penasihat syariah bagi Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan.
Beliau adalah juga Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada 2014.
Pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM menimbulkan kontroversi selepas dikritik kerana bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu membebaskan institusi pendidikan daripada politik. – 6 Januari, 2019.
Komen