Surat daripada anak Johor kepada Dr Mahathir


SEJAK kebelakangan ini, sering dilihat keluarga diraja Johor diserang secara bertubi-tubi oleh kerajaan persekutuan. Pelbagai kenyataan telah dibuat untuk memperlekeh dan mendiamkan keluarga diraja Johor yang lazimnya amat lantang bersuara.

Terbaru, Dr Mahathir membuat kenyataan bahawa Tunku Makhota Johor (TMJ) tidak faham akan konsep “persekutuan” di Malaysia kerana putera tersebut masih belum lahir lagi ketika ia dibentuk. Menurut beliau, konsep persekutuan membolehkan kerajaan untuk mentadbir seluruh negara.

Kenyataan Dr Mahathir tersebut ternyata bertujuan untuk mengambil ringan dan memperlekehkan TMJ dan gesaan baginda agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhenti mempolitikkan semua isu.

Dr Mahathir bukanlah tidak arif berkenaan kuasa kerajaan negeri dan kuasa kerajaan persekutuan, beliau semestinya tahu akan kewujudan senarai kerajaan negeri dan senarai kerajaan persekutuan dalam perlembagaan yang memperincikan bidang kuasa masing-masing.

Apa yang Dr Mahathir tidak faham adalah kenyataan oleh beliau dan ahli-ahli politik PH terhadap keluarga diraja Johor secara tidak langsung mengguris hati rakyat Johor. Kami amat sayangi dan sanjung Sultan Johor dan keluarga kerana di Johor, rakyat dan raja berpisah tiada.

Lebih penting lagi, apa yang dikatakan oleh TMJ bukanlah omong-omong kosong tetapi mempunyai nilai dan kebenarannya. Adakah salah bagi TMJ untuk menegur kerajaan agar berhenti berpolitik, mula mentadbir dan mengutamakan rakyat? Apa yang dilakukan TMJ hanyalah menyuarakan suara hati rakyat walaupun mengundang kecaman pihak kerajaan PH.

Dr Mahathir harus ingat bahawa Sultan Johor raja yang pertama bersuara selepas 9 Mei mengingatkan semua pihak untuk menghormati keputusan rakyat dan pembentukan kerajaan harus disegerakan. Ini menunjukkan institusi diraja memainkan peranan penting dalam menasihati semua pihak tak kira parti politik akan tanggungjawab masing-masing.

Siapakah yang boleh bersuara untuk rakyat jika raja-raja yang neutral dan tidak mewakili mana-mana parti politik tidak dibenarkan bersuara.

Kita juga berada dalam masa berbeza berbanding 1980-an dan 1990-an. Akta Keselamatan Dalam Negeri yang sebelum ini digunakan untuk mendiamkan rakyat sudah tidak wujud lagi dan ternyata kita lebih bebas untuk menyuarakan pendapat mengikut prinsip Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, rakyat berjaya menggesa kerajaan persekutuan untuk menurunkan harga minyak setelah sekian lama harga minyak dunia turun. Rupanya dalam diam ketika itu, rakyat membayar lebih mahal dari sepatutnya dan secara tidak langsung, kerajaan mengenakan cukai ke atas minyak selama berminggu-minggu. Hanya dengan gesaan rakyat, pelbagai pendapat dilontarkan di media sosial, kerajaan sedar bahawa isu ini penting dan harus diselesaikan.

Mana mungkin isu seharian seperti kos sara hidup dibiarkan begitu sahaja oleh pemimpin politik yang sibuk berpolitik dan bercakaran sesama sendiri.

Jika rakyat, atau raja yang mewakili rakyat tidak boleh menyuarakan pendapat dan pandangan, siapa lagi yang boleh bersuara untuk memastikan kepentingan rakyat terus diutamakan?

Pemimpin PH janganlah mudah melatah, terimalah teguran ikhlas tersebut dengan hati yang terbuka kerana sememangnya rakyat sudah jelak dengan permainan politik yang tidak habis-habis. – 6 Januari, 2019.

* Fadhli Abd Rahman ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Hehehe

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Othman Bakri · Ulasan