SEORANG lelaki ditahan pada Jumaat selepas menyerang anggota polis dengan pisau di luar Istana Buckingham yang merupakan kediaman Ratu Eizabeth II di London, kata polis.
“Lelaki itu ditahan oleh anggota polis di perkarangan Istana Buckingham kerana memiliki pisau,” kata polis London dalam satu kenyataan.
Dua anggota polis mengalami kecederaan pada lengannya dan suspek ditahan kerana menyerang dengan senjata.
Anggota polis terbabit dirawat di lokasi kejadian dan tidak perlu rawatan hospital, kata polis yang menambah terlalu awal untuk mengaitkan kejadian itu dengan pengganas.
Bagaimanapun tersebar di media sosial, penyerang terbabit bersenjatakan pedang, dan video turut dimuat naik memaparkan kereta peronda polis serta ambulans di luar istana itu manakala jalan raya ditutup.
Pengguna Twitter Amir Jan Malik menulis: “Tersekat di luar Istana Buckingham dengan ramai angota polis. Kesemua anggota bersenjata dan jalan ditutup.”
Saksi Kiana Williamson memberitahu media “terdapat ssebuah kereta polis, sebuah van polis dan juga kenderaan awam di kawasan kejadian.
“Mereka cuba menjerit mengarahkan lelaki dalam kereta itu untuk keluar, ramai lagi anggota polis tiba ke lokasi dan lelaki terbabit melawan,” katanya.
“Lelaki berkenaan telah ditangkap dan kelihatan seperti tidak sedarkan diri di tepi jalan.
“Saya tidak nampak kereta itu dipandu tetapi ia berada di tepi kiri jalan dan ada saksi mengatakan kereta itu dipandu ke arah kereta peronda polis,” tambahnya.
Kejadin itu berlaku dua jam selepas seorang lelaki bersenjataka pisau menyerang dua anggota tentera di Brussel yang disahkan pihak berkuasa sebagai serangan pengganas. – AFP, 26 Ogos, 2017.
Komen