Bersih sokong pelantikan Parlimen untuk pesuruhjaya SPR baharu


Christopher Rabin

Pengerusi Jawatankuasa Bersih 2.0, Thomas Fann berkata pelantikan itu perlu disegerakan bagi membolehkan SPR berfungsi sepenuhnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2019

PELANTIKAN ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) perlu dibuat dengan segera bagi memastikan suruhanjaya itu dapat berfungsi sepenuhnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Bersih 2.0, Thomas Fann. 

Pelantikan pesuruhjaya baharu itu perlu dibuat secepat mungkin agar dasar dan keputusan oleh SPR boleh dibuat dengan cara perundingan. 

“Azhar Harun berkhidmat seorang diri dalam SPR kerana masih ada enam kekosongan. Hanya beliau yang membuat keputusan,” kata Fann merujuk peada pengerusi SPR. 

Enam pesuruhjaya meletakkan jawatan tahun lalu selepas Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan persekutuan, mengosongkan jawatan itu pada 1 Januari.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dalam satu kenyataan hari ini berkata, kekosongan itu memberikan peluang kepada kerajaan untuk menubuhkan SPR yang lengkap yang memerlukan pembaharuan bagi memperbaiki reutasinya yang tercalar dalam menguruskan pilihan raya umum lalu. 

Perlembagaan persekutuan bagaimanapun menyatakan, ahli SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada Majlis Raja-Raja dan nasihat perdana menteri. 

Khoo berkata, ia bukanlah satu proses yang telus dan menggesa pelantikan juga dibuat menerusi Parlimen menggunakan PSC bagi Perlantikan Awam Utama (MPA).

PSC ke MPA adalah salah satu daripada enam jawatankuasa terpilih baru yang ditubuhkan oleh Parlimen di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

“Proses itu perlu disegerakan supaya dalam dua atau tiga bulan, pesuruhjaya baru dilantik untuk bekerja dengan pengerusi,” kata Fann.

“Sejak sepuluh tahun yang lalu, reputasi SPR buruk kerana memihak.

“Dengan melalui proses yang telus, ia akan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap SPR,” katanya. – 6 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen