Anak Mat Sabu disahkan positif ganja


Alfian Z.M. Tahir

POLIS menahan anak kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam satu operasi di Jalan Ampang malam tadi selepas didapati positif dadah.

Sumber daripada Jabatan Narkotik Balai Polis Dang Wangi memberitahu The Malaysian Insight, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, disahkan positif ganja selepas ditahan di sebuah premis hiburan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Presiden Amanah yang terkenal dengan panggilan Mat Sabu itu, mempunyai empat orang anak dan Ahmad Saiful merupakan anak ketiga.

Ops Pusat Hiburan Bersepadu itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang.

Seramai 101 individu diperiksa terdiri daripada 55 wanita dan 46 lelaki.

Sementara itu, Setiausaha Politik Mohamad, Azhar Che Mat Dali mengesahkan anak menteri itu ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

“Semua orang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan salah oleh mahkamah,” katanya, seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today.

Pegawai itu juga dipetik berkata, Mohamad sedia anaknya disiasat mengikut saluran undang-undang.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Zainuddin Yaacob memberitahu akhbar Sinar Harian, lelaki berkenaan bersama seorang lagi individu dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana mengambil dadah.Peruntukan itu membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau dua tahun penjara.– 5 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen