Pengebom bunuh diri serang masjid Syiah di Kabul


Seorang lelaki Syiah Afghanistan ditenteramkan kerana menangisi ahli keluarganya yang terperangkap di dalam masjid yang diserang pengebom bunuh diri. – Gambar AFP, 25 Ogos, 2017.

SEORANG pengebom bunuh diri dan lelaki bersenjata menyerang sebuah masjid Syiah di Kabul, Afghanistan hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh.

Bunyi tembakan dan letupan boleh didengari dan saksi melaporkan jemaah memecahkan tingkap untuk melarikan diri dari masjid yang padat dengan lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam serangan yang dilancarkan ketika solat Jumaat.

Pasukan keselamatan bersenjata mengelilingi masjid yang terletak di kawasan kediaman di utara bandaraya Kabul dan keadaan segera menjadi tegang apabila mereka menyerbu ke dalam masjid.

Jurucakap polis Kabul Abdul Basir Mujahid memberitahu seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di dalam masjid dan seorang pegawai kementerian kesihatan berkata sekurang-kurangnya dua orang maut manakala 11 lagi cedera. Bagaimanapun belum dapat dipastikan jika semua mangsa adalah orang awam.

Seorang jurucakap kementerian dalam negeri memberitahu media sekurang-kurangnya dua pegawai polis terbunuh.

Di luar masjid orang ramai berkumpul sambil cuba menelefon mangsa yang terperangkap dalam masjid tetapi panggilan mereka tidak berjawab.

“Saudara kami terperangkap dalam masjid. Kami percaya mereka dijadikan tebusan. Kami bimbangkan keselamatan merekadan semoga Tuhan membantu kami untuk menyelamatkan orang-orang kesayangan kami,” kata mereka.

Menurut Sayed Jan Agha yang bekerja di masjid itu, penyerang bersenjata menyerang di bahagian wanita di mana ibunya merupakan salah seorang mangsa yang terperangkap.

“Pengebom kehabisan peluru lalu menggunakan pisau untuk menikam jemaah masjid,” kata seorang saksi.

Saksi lain juga berkata penyerang terbabit turut dilengkapi pelancar bom tangan. – AFP, 25 Ogos, 2017.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen