TMJ tak faham konsep persekutuan, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang akhbar hari ini turut mengulas kritikan terbaru Tunku Mahkota Johor terhadap kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Januari, 2019.

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim tidak faham konsep persekutuan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mengulas kritikan terbaru Tunku Mahkota Johor itu minggu ini terhadap kerajaan.

Dr Mahathir berkata Tunku Ismail seharusnya tahu ada perkara yang diasingkan di bawah bidang kuasa negeri dan Persekutuan.

TMJ mungkin tidak faham konsep persekutuan, masa itu mungkin dia belum lahir, tapi saya dilahirkan masa itu.

“Konsep itu ialah persekutuan kuasai seluruh negara, tak boleh kata ini tak boleh, itu tak boleh.

“Kita ada senarai apa yang dikuasai ‘federation’ dan negeri, tidak ada kata ‘federation’ buat kenyataan dan kata kita tak boleh komen,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur, hari ini.

Diminta mengulas hubungan pentadbirannya dengan Tunku Mahkota Johor, Dr Mahathir berkata: “Dia tiada jawatan apa-apa.”

Kelmarin, Tunku Ismail berkata beliau sedia jadi musuh No. 1 sekiranya tindakannya mengkritik kerajaan dicemuh, asal saja kerajaan berbuat yang terbaik untuk rakyat.

Dalam satu kenyataan di Facebook, TMJ berkata kritikan beliau terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang tiada bezanya dengan kritikannya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Tiada beza. Sekadar mahukan yang terbaik untuk rakyat. Sesetengah mungkin tidak suka apa yang saya katakan tapi itulah cabarannya. Untuk terus bersuara demi rakyat yang tidak dapat menyuarakannya.

“Biarkan saya menjadi musuh anda No.1 sekiranya perlu. Saya konsisten dan tegas dengan prinsip saya,” katanya.

Tunku Ismail kerap mengeluarkan beberapa kenyataan menyentuh isu politik semasa, termasuk saranan kepada rakyat menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu agar “tidak menukar kapal”, istilah yang merujuk kepada kerajaan BN.

BN bagaimanapun kalah PRU14, tersingkir dari Putrajaya dan kehilangan beberapa negeri, termasuk Johor yang merupakan tempat lahir Umno.

Sejak PH mengambil alih kerajaan, Tunku Ismail terus secara terbuka beberapa kali mengkritik Dr Mahathir dan pentadbirannya di Putrajaya, termasuk yang terakhir berhubung status Pulau Kukup di Johor sebagai taman laut yang dilindungi.

Dalam kenyataan terbarunya kelmarin, Tunku Ismail menggesa ahli politik berhenti “berperang antara satu sama lain” dan “mempolitikkan setiap isu”.

“Kini sudah 2019, ayuh kita lakukan yang sepatutnya sekarang. Ayuh kita kurangkan berpolitik,” katanya. – 4 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen