PAS merayu sumbangan derma untuk menampung kos guaman di United Kingdom dalam tindakan saman Presiden Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report, yang perlu dibayar dalam masa dua minggu ini, kata naib presidennya Idris Ahmad.
Dalam satu kenyataan ringkas di laman Facebook rasmi parti Islam itu, Idris merayu sumbangan untuk membayar kos guaman RM400,000 kepada peguamnya.
“Minta tolong sangat-sangat. Bantuan untuk bayaran guaman saman Sarawak Report. Perlu RM400,000 lagi. Dalam masa dua minggu mesti jelaskan kepada peguam di UK,” tulis di Facebook.
Menurut Idris, PAS kini sudah ada RM69,000 dan masih memerlukan tambahan RM331,000.
“Banyak lagi bil selepas ini sewaktu kes ini berjalan nanti,” katanya, dan menambah parti Islam itu sudah membayar hampir RM2.5 juta untuk kes tersebut.
Pada April 2017, Hadi memfailkan saman terhadap editor Sarawak Reports, Clare Rewcastle-Brown.
Saman dikemukakan berhubung tulisan editor itu pada Ogos 2016 mendakwa pimpinan PAS menerima dana RM90 juta yang masuk ke akaun mereka sebagai dorongan bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
Wang itu didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.
PAS juga sebelum itu meminta Rewcastle-Brown menarik artikel berkenaan dari laman webnya dan memohon maaf.
Setakat September tahun lalu, Ahli PAS dilapor menyumbang sebanyak RM2.1 juta untuk membantu kos saman Hadi terhadap Rewcastle-Brown, yang diumumkan semasa Muktamar PAS ke-62 di Kuala Nerus, Terengganu.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan juga ketika itu menjelaskan saman tersebut difailkan oleh Hadi dan bukan parti.
Dalam tindakan mahkamah itu, Hadi diwakili firma guaman Carter-Ruck.
Mahkamah Tinggi London awal tahun lalu mengetepikan pernyataan pembelaan Rewcastle-Brown. Beliau ketika itu diperintahkan membayar hampir £29,000 (lebih kurang RM156,000) kepada Hadi yang menang semua lima permohonan interlokutori terhadapnya.
Menurut laporan media, saman itu ditetapkan untuk perbicaraan April ini. – 3 Januari, 2019.
Komen