Pemilik pub perlu asing tempat makan, minum, kata Dzulkefly


Andrew Chin

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan larangan merokok merangkumi semua premis yang menyajikan makanan termasuk bar dan pub. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2019.

PEMILIK kelab malam dan pub tidak perlu menyajikan makanan di premis masing-masing jika berpendapat larangan merokok akan menjejaskan pelanggan mereka, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, beberapa aduan diterima dari pemilik-pemilik kelab yang berkata larangan yang berkuatkuasa 1 Januari itu akan menghalang pelanggan yang merokok datang ke premis mereka.

Bagaimanapun, Dzulkefly menegaskan larangan tersebut merangkumi semua premis yang menyajikan makanan termasuk bar dan pub.

“Kita sudah nyatakan dengan jelas. Apabila sesuatu tempat menyajikan makanan, anda tidak boleh merokok,” beliau memberitahu pemberita hari ini.

Bagaimanapun, pengendali premis katanya perlu mempertimbangkan untuk menyediakan satu kawasan berasingan untuk makan dan minum, supaya pelanggan tidak terjejas.

“Tempat-tempat seperti disko, pub, tidak terkecuali apabila tempat-tempat ini menyajikan makanan.

“Jadi, pemilik premis perlu elakkan menyajikan makanan dalam pub atau kelab malam,” kata Dzulkefly.

Setakat sehingga semalam, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan 2,500 amaran, melawat 5,746 premis dan menasihati 10,934 individu berhubung penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan. – 3 Januari, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen