Kedudukan Petronas di Sarawak belum pasti, kata ketua menteri


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata sudah terdapat 'formula' antara Petronas dan kerajaan negeri di bawah pindaan Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak tetapi firma minyak negara itu masih teragak-agak terhadap perkara yang melibatkan penyusunan komersil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2019.

SARAWAK dan Petronas masih belum bersetuju mengenai kedudukan baru syarikat minyak negara itu di negeri ini selepas pindaan undang-undang negeri pada Julai yang melucutkan kuasa kawal selia syarikat.

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata sudah terdapat “formula” antara Petronas dan negeri di bawah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak (OMO) tetapi firma minyak negara masih teragak-agak terhadap perkara yang melibatkan penyusunan komersil.

Abang Johari berkata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali akan mengarahkan Petronas meneruskan perbincangan dengan Sarawak.

Hak terhadap sumber karbon dan pendapatan Sarawak yang diperoleh daripadanya menjadi isu kerajaan negeri-persekutuan beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Julai, Sarawak bertindak melucutkan kuasa pengawalseliaan Petronas dengan meminda OMO yang berusia 60 tahun itu “untuk menjadikan ordinat selaras dengan amalan dan operasi semasa dalam sektor huluan industri minyak dan gas”.

Pindaan ini juga memperketatkan kawalan pengawalseliaan negeri terhadap penerokaan dan prospek petroleum serta perlombongan di tanah negeri.

Kedudukan Petronas sebelum Julai ditentukan oleh Akta Pembangunan Petroleum 1974, yang memberi ia monopoli ke atas semua sumber minyak dan gas negeri.

Sarawak berkata akta 1974 itu tidak sah di Sarawak kerana ia tidak pernah disahkan oleh Dewan Undangan Negeri.

Ratifikasi diwajibkan kerana undang-undang itu melanggar Perjanjian Malaysia 1963 dan hak negeri, kata kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hasan, ketika membentangkan pindaan itu berkata Petronas dan semua syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sarawak mesti mematuhi OMO dan undang-undang negeri lain, terutamanya Kanun Tanah.

Awang Tengah juga berkata kerajaan negeri bersedia “bekerjasama dengan Petronas untuk mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan bagi penerokaan, prospek dan perlombongan untuk minyak dan gas di negeri ini”.

Hak peraturan kini dikuatkuasakan oleh firma penerokaan minyak dan gas milik kerajaan negeri Petroleum Sarawak Bhd (Petros), yang ditubuhkan pada Mac tahun lepas. – Bernama, 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen