KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau percaya Putrajaya menerima cukai dikenakan sebanyak 5% ke atas semua produk petroleum dieksport dari 1 Januari tidak boleh dirunding.
Abang Johari berkata semasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin kerajaan negeri Sarawak di Putrajaya bulan lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkongsi kebimbangannya yang cukai jualan mungkin memaksa pelabur menjauh kerana kenaikan kos menjalankan perniagaan.
Bagaimanapun, beliau memberitahu pemberita hari ini alasan itu tidak jelas, kerana Putrajaya boleh mengurangkan cukai dikenakan kepada industri minyak dan gas untuk menjadikannya lebih berdaya saing.
“Jawapan saya ialah bukan hanya hak negeri mengenakan cukai jualan di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi jika ia tidak kompetitif seperti dikatakan Azmin, maka kerajaan persekutuan perlu mengkolaborasi semula struktur cukai (untuk industri minyak dan gas),” kata Abang Johari selepas memberi taklimat kepada jawatankuasa perundingan negeri mengenai apa yang berlaku dalam mesyuarat bulan lepas.
Beliau berkata Putrajaya mengenakan cukai pendapatan petroleum yang tinggi sebanyak 38% kepada pemain industri, dan dengan itu mampu mengurangkan cukai sebanyak 5%.
“Kenapa Sarawak perlu membuat pengorbanan supaya menjadikannya berdaya saing?”
Abang Johari berkata di bawah Perkara 95C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan yang memberi Sarawak hak mengenakan cukai, tiada ketetapan mengenai kuantum yang boleh ditetapkan oleh kerajaan.
“Kita juga boleh mengenakan 10% tetapi kita juga mempertimbangkan persekitaran ekonomi, (jadi) kita hanya mengenakan 5%.
“Apa yang boleh mereka lakukan ialah mengurangkan 38% (cukai pendapatan petroleum) sebanyak 5%. 33% sudah cukup.”
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang juga anggota jawatankuasa pemandu, sebelum ini berkata cukai jualan - yang diluluskan sebulat suara oleh dewan undangan negeri pada November - adalah “tidak munasabah”. – Bernama, 3 Januari, 2019.
Komen