Jepun kenakan sekatan baharu ke atas Korea Utara


JEPUN akan mengenakan sekatan baru terhadap Korea Utara dengan membekukan aset firma Namibia dan China daripada berurusan dengan negara itu.

Langkah yang diambil terhadap organisasi dan beberapa individu timbul sehari selepas Washington memgembangkan langkah punitif terhadap syarikat China dan Rusia, juga mereka yang berkait dengan Pyongyang.

Langkah terbaharu Amerika Syarikat itu menimbulkan kemarahan Beijing, yang merupakan sekutu Korea Utara, manakala media Jepun melaporkan hubungan firma dari Namibia dengan Korea Utara diperketatkan sejak beberapa tahun ini.

“Kami akan terus membuat gesaan (terhadap Korea Utara) untuk mengambil langkah ke arah denuklearisasi,” kata jurucakap kerajaan Jepun Yoshihide Suga.

“Kini adalah masanya untuk mengenakan tekanan,” tambahnya.

Tekanan itu dibuat bagi menyasarkan gangguan aliran tunai yang membiayai program senjata Korea Utara, yang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu (PBB).

Jepun sebelum ini membekukan aset beberapa entiti dan individu membabitkan sumber asli dan penyelidikan yang mempunyai kaitan dengan program pembangunan peluru berpandu dan nuklear Pyongyang.

Amerika Syarikat dan sekutunya, Jepun dan Korea Selatan mengambil langkah berjaga-jaga sejak beberapa bulan lalu berikutan ujian peluru berpandu yang dijalankan Korea Utara.

Ketegangan itu bagaimanapun mulai reda selepas pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un menarik balik rancangan untuk melancarkan peluru berpandu ke wilayah AS di Guam. – AFP, 25 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen