Mohon projek untuk operasi Bersatu, bukan kayakan diri


SM Amin

Bersatu, parti yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad berdepan ujian getir pertama memisahkan mereka daripada jadi Umno 2.0. Hasil ujian ini akan menentukan hala tuju mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2019.

KETUA-KETUA Bahagian Bersatu meminta projek atau jawatan untuk menggerakkan parti di akar umbi dan bukannya untuk mengayakan diri masing-masing, kata beberapa sumber pemimpin akar umbi parti.

Selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu, parti tidak menyalurkan bantuan kewangan ke bawah sehingga menyukarkan akar umbi menjalankan aktiviti-aktiviti bersama rakyat, kata seorang sumber yang juga ketua bahagian.

“Kita sudah banyak berkorban sebelum PRU14. Ada yang jual tanah, jual kereta, guna duit pencen… bila sudah menang takkan kita hendak keluar duit sendiri lagi,” soalnya ketika ditemui The Malaysian Insight.

“Jika tidak mahu beri kami jawatan atau projek, pimpinan atasan parti kenalah salur peruntukan ke bahagian-bahagian. Ini bukan untuk membuat duit tetapi menjalankan operasi parti,” tegasnya.

Dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu minggu lalu, Naib Presiden Abdul Rashid Abdul Rahman menyarankan agar ketua bahagian dan cawangan diberikan projek kerajaan.

Cadangan Abdul Rashid diselar sayap Pemuda Bersatu yang diketuai Syed Saddiq Abdul Rahman. Sayap Pemuda Bersatu bukan sahaja mengecam kenyataan Abdul Rashid, malah mengugut membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perkara itu berlaku dalam parti.

Naib Presiden Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan projek kerajaan diberikan kepada ketua bahagian, cadangan yang menerima kecaman hebat banyak pihak tetapi disokong akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2019.

Ketegasan Syed Saddiq bagaimanapun tidak disukai oleh ketua-ketua bahagian, yang dilaporkan mula menyusun gerakan menyingkirkan beliau dalam pemilihan parti pertengahan tahun ini.

Cadangan memberikan projek kerajaan kepada ketua dalam parti menimbulkan rasa tidak senang bukan sahaja dalam Bersatu, tetapi juga rakan politik Pakatan Harapan dan pergerakan masyrakat sivil.

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim misalnya berkata sumber kerajaan perlu diberikan berdasarkan merit dan undang-undang, menambah yang cadangan Abdul Rashid tidak akan dilaksanakan.

Ketua Pemuda DAP Howard Lee pula berkata semua bentuk politik penaungan termasuk yang diamalkan dan dipromosi parti gabungan PH sendiri perlu dihapuskan.

Manakala, pergerakan masyarakat sivil Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) mendesak Abdul Rashid menarik semula kenyataannya, manakala Bersih 2.0 mengingatkan Rashid korupsi adalah sebab Barisan Nasional tersingkir pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Menurut sumber, sikap akar umbi mengenai bantuan parti ternampak dalam perbahasan perwakilan semasa perhimpunan agung hujung minggu lalu. 

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikecam akar umbi dan ketua bahagian kerana menentang cadangan Naib Presiden Abdul Rashid Abdul Rahman, malah komplot menyingkirnya dikatakan sudah bermula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2019.

Beberapa perwakilan juga mempersoalkan pemimpin Bersatu di pusat dan negeri yang dianggap mengabaikan akar umbi sejak jadi menteri, sebaliknya dilihat rapat dengan kontraktor yang ada kaitan dengan Umno.

“Mereka tidak mahu membantu jentera parti tetapi pejabat-pejabat mereka dibanjiri pemimpin Umno yang mencari projek kerajaan.

“Kontrak-kontrak tersebut diberi kepada pemimpin-pemimpin Umno. Itu bahagian jadi marah,” kata seorang lagi ketua bahagian Bersatu yang enggan dikenali.

Seorang sumber bagaimanapun mengaku ucapan Abdul Rashid tidak sepatutnya dibuat secara terbuka kerana boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap parti.

“Salah (Abdul) Rashid juga guna bahasa yang tidak kena, di pentas yang tidak kena, bercakap secara terbuka,” ujarnya.

Tambah sumber, ketua-ketua bahagian sudah mula membuat petisyen kepada ibu pejabat mengandungi tiga perkara iaitu mengkritik Syed Saddiq, menyokong saranan Abdul Rashid dan meminta parti membantu menyalurkan dana kepada bahagian-bahagian. – 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen